Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Hari Ungu anak autisme


KESUKARAN berinteraksi dan berkomunikasi serta perlakuan yang terhad dan berulang bagaikan berada di dunia mereka sendiri membuatkan kanak-kanak autisme tidak dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.
Simptom autisme selalunya dapat dikesan seawal usia tiga tahun apabila ibu bapa dapat merasai kelainan pada anak mereka yang sukar memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara.
Tidak suka bersosial, bercakap dalam nada yang pelik, tidak boleh duduk diam dan tidak mahu bertentang mata merupakan antara simptom masalah ini.
Dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak Malaysia menghadapinya dan statistik menunjukkan kira-kira 47,000 penduduk negara ini mengalami masalah autisme.
Daripada jumlah tersebut, empat atau lima orang bagi setiap 10,000 pesakit mengalami autisme tulen yang menyebabkan mereka kehilangan keupayaan memahami keadaan sekeliling kecuali diri sendiri.
Sehubungan itu, kanak-kanak autisme ini perlu dibantu dalam menjalani kehidupan yang lebih baik seperti manusia normal yang lain.
Sebagai tanda sokongan terhadapi usaha itu, pusat beli-belah terkenal, Suria KLCC buat tahun ke tiga berturut-turut melancarkan Kempen Hari Ungu (Purple Day).
Kempen yang dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme dilancarkan baru-baru ini oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia, Toh Puan Dr. Safurah Jaafar.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien, berkata, kempen tersebut juga bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).
"Tahun lalu kami berjaya mengumpul lebih RM150,000 dan tahun ini sasaran kami ialah RM200,000 bagi membantu lebih ramai lagi individu autisme dan keluarga mereka.
"Kami amat teruja dan menyeru semua rakyat Malaysia menyertai kempen ini bagi membantu kanak-kanak autisme ini," kata
Sepanjang kempen berlangsung dari 20 sehingga 30 September lalu pelbagai aktiviti telah diadakan seperti jualan baju T hasil karya kanak-kanak autisme, beg tote hiasan telefon bimbit, cawan dan patung edisi terhad.
Selain itu, terdapat beberapa kedai dan restoran terpilih di dalam pusat membeli-belah Suria KLCC turut menyokong kempen Hari Unggu 2012 di mana dalam setiap pembelian di tempat tersebut sebahagiannya disumbangkan kepada Nasom.
Lebih membanggakan, kempen ini telah menerima anugerah emas dari International Council of Shopping Centres (ICSC) di World Retail Real Estate Summit dalam ketagori pemasaran kemasyarakatan baru-baru ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121004/ke_02/Hari-Ungu-anak-autisme#ixzz28lN9zdtP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Beri input kepada masyarakat



PERSATUAN Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (PPJJM) didaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Kuala Lumpur pada tahun 2007.
Persatuan berputik di Unit Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur pada tahun 2004 dengan bantuan daripada Unit Genetik Pediatrik dan Unit Kebajikan Perubatan PPUM.
Tujuan persatuan ditubuhkan pada mulanya adalah untuk memberi sokongan kepada keluarga pesakit penyakit jarang jumpa (rare disorders), termasuk menjaga kebajikan jika perlu.
Golongan sasaran persatuan pada permulaan adalah kanak-kanak yang mengalami penyakit ini dan ahli-ahli keluarga mereka.
Bagaimana pun hasil daripada kegiatan-kegiatan kesedaran ramai individu dewasa turut menjadi ahli PPJJM.
Menurut Presiden PPJJM, Datuk Hatijah Ayob , di negara ini tiga hingga lima peratus bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan kelahiran.
Sebahagian kecil di antara kecacatan itu termasuk menghidap penyakit jarang jumpa.
''Penyakit jarang jumpa ditakrifkan mempunyai kekerapan berlaku kurang daripada 1 dalam 4,000 orang dalam masyarakat.
''Penyakit ini meliputi masalah genetik kronik yang tidak dapat dipulih. Biasanya tidak mempunyai ubat-ubatan serta berpotensi membawa kecacatan dan maut sekiranya tidak mendapat rawatan awal. Sekiranya ada ubat kos sangatlah mahal," katanya.
Hatijah mengakui, bergiat cergas dalam persatuan itu apabila cucu sulungnya sendiri dilahirkan dengan penyakit jarang jumpa pada tahun 2004 dan meninggal dunia pada usia tujuh bulan.
Malangnya beliau berkata, penyakit ini biasanya tidak dikesan awal dan sering disalah diagnos yang secara tidak langsung akan menjejas keadaan pesakit.
Ada juga sebilangan keluarga pesakit takut stigma dan anggapan masyarakat sekeliling.
Walaupun jumlah pesakit tidak ramai tetapi terdapat pelbagai jenis penyakit jarang jumpa yang melibatkan kesihatan organ dan urat saraf, kecacatan fizikal dan mental daripada tahap minimum ke tahap yang maksimum.
Keadaan ini merumitkan pengurusan rawatan pesakit penyakit jarang jumpa, lebih-lebih lagi ramai pihak dalam masyarakat yang tidak mengetahui dengan terperinci mengenai penyakit ini dan kekurangan informasi mengenai penyakit.
Jelasnya, menerusi persatuan ini, pihaknya bertindak memberi sokongan kepada keluarga, dan mewujudkan rangkaian antara individu dan keluarga yang mengalami penyakit ini.
Hatijah berkata, memandangkan penyakit ini masih belum banyak diketahui oleh masyarakat, waima di kalangan pengamal perubatan sendiri, persatuan bertindak mencari dana yang diperlukan untuk menyalurkan maklumat mengenai penyakit ini dengan tepat dan terkini.
Selain itu, persatuan turut memberi pendidikan di samping membantu keluarga dan pesakit.
''Sebaik ada pesakit yang sah mengalami penyakit jarang jumpa mereka akan di rujuk oleh doktor kepada kita.
''Setakat ini kami hanya bergerak sesama kami secara sendirian dan menjadikan kawasan rumah saya di Petaling Jaya sebagai satu pusat pertemuan untuk membincangkan berkenaan sesuatu perkara mengenai aktiviti yang dilakukan," katanya.
Menurut Hatijah, setakat ini terdapat 80 orang ahli yang berdaftar dengan 40 jenis penyakit dilaporkan dan kesemua proses bermula dari peringkat bayi lagi.
Selain bagi tempat rujukan dan sokongan kepada ibu bapa, persatuan juga bertindak meningkatkan kesedaran masyarakat di negara ini mengenai penyakit ini menerusi pelbagai aktiviti dan saluran yang difikirkan sesuai.
'' Kepada ibu bapa dinasihat mengambil berat sekiranya penyakit anak anda berpanjangan tampa sembuh. Mereka dinasihat agar mendapat pendapat kedua dan anak-anak yang mengalami apa-apa kecacatan perlu diberi peluang ke sekolah dan jangan sembunyikan mereka," katanya.
Dalam pada itu beliau juga meminta pihak-pihak tertentu lebih peka dan prihatin terutama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan untuk berkerjasama dengan keluarga pesakit terhadap keperluan golongan ini.
''Mungkin penyakit ini tidak termasuk dalam syarat-syarat yang dikemukakan untuk melayakkan mereka mendapatkan bantuan.
"Namun sebenarnya, golongan ini juga perlukan bantuan dan termasuk di dalam kategori jenis-jenis kecacatan di bawah Akta OKU dan Akta Pesakit," katanya.
Ibu bapa yang mempunyai anak-anak di dalam kategori penyakit jarang jumpa ini katanya, digalak menyertai kumpulan sokongan dan mendaftar sebagai ahli persatuan agar sentiasa mendapat penerangan dan maklumat terkini melalui berkongsi maklumat dan untuk beriadah.
Jika ada sebarang pertanyaan boleh kemukakan kepada PPJJM. Hubungi talian 03-79492507, 016-3696550, 019-3827386 atau layari www.mrds.org.my.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121004/ke_01/Beri-input-kepada-masyarakat#ixzz28lMxvACw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mi rebus Sitti Jumaida



Sitti Jumaida Mundir menunjukkan mi rebus Johor hasil sajiannya.
TIDAK keterlaluan sekiranya mengklasifikasikan Johor sebagai sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai makanan yang enak.
Ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan masakan yang terkenal hari ini datang dari negeri tersebut.
Antaranya termasuk nasi beriani, mi rebus, lontong, laksa Johor, dan juga soto.
Hari ini kebanyakan masakan-masakan tersebut boleh didapati di ibu negara yang sememangnya terkenal dengan jolokan 'syurga' makanan.
Untuk itu, bagi mereka yang ingin menikmati semangkuk mi rebus Johor terbaik apa kata kunjungi gerai makanan tersebut yang terletak di Restoran Hanna, No. 32, Jalan UP 1/7, UK Perdana 1, Ampang, Selangor.
Biarpun hanya beroperasi di gerai yang disewa di restoran tersebut, menurut pemiliknya, Sitti Jumaida Mundir (Sitti), 26, keistimewaan mi rebus yang diusahakannya itu terletak pada kuahnya yang pekat.
Tambahnya lagi, resipi yang digunakan adalah resipi turun temurun yang diperoleh daripada pemiliknya yang merupakan orang kelahiran Johor.
"Sebenarnya, resipi ini merupakan resipi turun-temurun yang diusahakan oleh pengusahannya di Johor.
"Saya mendapat resipi asli ini kira-kira 12 tahun lalu tetapi tidak pernah terfikir untuk berniaga.
"Bagaimanapun baru-baru ini saya mula terfikir apa salahnya berkongsi dengan mereka yang gemar makanan ini," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Yang pasti, walaupun baru beroperasi sekitar Mei lalu, Sitti memberitahu dia menyediakan kira-kira 20 kilogram (kg) mi setiap hari manakala untuk kuahnya pula Sitti memperuntukkan lima kg daging segar.
Berbicara mengenai bahan-bahan yang digunakan, Sitti memberitahu dia hanya menggunakan bahan-bahan segar dan sudah pasti kesemuanya adalah bahan tempatan.
Katanya, kuah mi dihasilkan dengan air rebusan daging dan hanya daging segar yang mampu menjadikan kuah mi rebusn manis serta pekat.
Sememangnya kelazatan mi rebus ini terletak pada ramuan kuahnya.
Gerai yang dibuka dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam itu juga menjadi pilihan penduduk setempat dan sekitar kawasan tersebut sehinggakan Sitti sendiri tidak menang tangan.
Menawarkan dua jenis mi rebus, biasa dan istimewa, harga yang ditawarkan Sitti cukup munasabah dan berbaloi, RM4.50 (biasa) dan RM5.50 (istimewa).
Menurut Sitti, apa yang membezakannya cuma mi rebus Johor istimewa akan disertakan dua ekor udang manakala yang biasa tidak disertakan udang.
Yang pasti, mi rebus di gerai Sitti diadun dengan betul dan rasanya juga cukup unik.
Mi rebus Johor ini turut disajikan dengan keropok, sebahagian daripada hidangan yang menyebabkan rasanya begitu berbeza.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121005/ke_03/Mi-rebus-Sitti-Jumaida#ixzz28lMkLiZH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cita rasa Mexico



Quesadilla
SEJAUH mana anda menggemari makanan antarabangsa? Apa kata sesekali kita mencuba makanan antarabangsa yang jarang-jarang kita nikmati.
Jadi tidaklah kita berasa jemu dengan makanan yang biasa kita jamah hari-hari. Barulah kita dapat satu pengalaman yang baru dengan menikmati makanan yang berbeza.
Oleh kerana itu pada minggu ini saya akan menulis tentang satu juadah antarabangsa yang dikenali dengan nama Quesadilla.
Mungkin ada di antara anda yang tidak pernah mendengar dan merasai makanan ini. Bukan apa, saya memilih juadah ini pada minggu ini untuk dikongsikan bersama pembaca kerana saya telah berkesempatan merasai makanan ini ketika datang memeriahkan peperiksaan akhir pelajar-pelajar seni kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang bagi subjek Makanan Antarabangsa pada 12 September lalu yang membawa tema Makanan Jalanan (Street Food).
Terdapat pelbagai gerai yang menyajikan makanan-makanan antarabangsa mengikut benua. Setiap makanan yang mereka sediakan mengikut kumpulan masing-masing untuk memenuhi tema pada malam itu.
Pelajar-pelajar ini perlu menyediakan juadah-juadah antarabangsa bagi memenuhi keperluan subjek ini untuk melengkapkan pembelajaran mereka.
Setiap makanan yang disediakan telah dinilai oleh pensyarah mereka. Dengan hidangan yang disediakan ini para jemputan yang juga di kalangan warga pensyarah warga kerja dan pelajar-pelajar fakulti ini dapat merasai air tangan mereka.
Agak mengagumkan kerana mereka dapat menyediakan pelbagai jenis juadah yang datang dari semua benua dan saya mengucapkan syabas kepada semua pelajar semester lima.
Mereka telah berjaya menyediakan makanan yang bukan sahaja enak tetapi dapat memberikan informasi tentang makanan yang mungkin baru kepada mereka yang menghadiri majlis peperiksaan akhir ini.
Ia adalah suatu pencapaian yang memang membanggakan.
Banyak jugalah informasi yang saya dapat daripada makanan yang mereka sediakan. Contohnya, dari mana asal-usul makanan itu, apakah maksud nama makanan, cara membuatnya, bahan-bahan dan sebagainya.
Inilah menariknya tentang makanan, bukan sahaja untuk dimakan tetapi ada nilai pengetahuan am yang boleh kita dapati yang kita tidak tahu selama ini.
Saya sangat tertarik dengan Quesadilla ini apabila saya singgah di gerai makanan Mexico untuk merasa juadah tersebut.
Ini memberi idea untuk saya menulis tentang Quesadilla untuk topik minggu ini. Bagi saya makanan yang berasal dari Mexico ini adalah makanan yang unik.
Cara membuatnya tidaklah sukar dan yang paling penting bahan-bahannya mudah didapati untuk kita sediakan.
Quesadilla disebut dengan bunyi seperti kesedia. Ia diperbuat daripada roti tortilla yang dilipat dua. Di tengahnya mempunyai isi daripada pelbagai jenis isian. Antara isi yang biasa digunakan termasuk ayam bakar, ayam barbeku, daging lembu bakar, hot dog, dan bacon (kepingan daging lembu).
Nama ini berasal dari makna keju dalam bahasa Sepanyol iaitu queso yang antara menjadi bahan utama untuk isinya.
Tortilla yang telah diletak isi seperti keju dan bahan isi yang lain akan dilipat dua dan dipanaskan dengan sedikit minyak di atas kuali leper sehingga keju menjadi cair dan perang,
Kemudian, dihidangkan dengan salsa yang diperbuat daripada sayur-sayuran atau boleh juga dimakan bersama guacamole yang diperbuat daripada buah avokado, bawang cincang, dan cili hijau. Quesadilla yang telah digoreng akan dipotong baji atau segitiga.
Setiap daerah di Amerika utara dan Mexico mempunyai cara berbeza membuat sajian ini. Di daerah sebelah utara Mexico mereka lebih suka menggunakan tortilla yang diperbuat daripada jagung tetapi di bahagian tengah dan selatan pula kebanyakan mereka suka menggunakan tortilla yang diperbuat daripada gandum.
Anda bebas menggunakan isi yang anda suka tetapi yang penting perlu menggunakan bahan utama iaitu tortilla, dan keju. Jadi apa lagi cubalah resipi antarabangsa dari Mexico ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121005/ke_02/Cita-rasa-Mexico#ixzz28lMa3PWs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Resepi warisan Florence


Selain menghasilkan buku Florence Tan juga kerap diundang dalam program-program masakan di televisyen.



Buku Resipi Warisan Nyonya hasil nukilan Florence Tan.




NAMANYA cukup sinonim dengan masakan Baba Nyonya. Malah kelincahannya menyediakan juadah keturunan tersebut cukup memikat hati sesiapa sahaja yang menonton rancangannya di kaca televisyen. Turut memiliki perwatakan yang ceria dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja, chef selebriti berketurunan Baba Nyonya ini juga tidak lokek untuk berkongsi resepi masakannya malah cukup berbangga dapat berbuat demikian.
Ini dapat dilihat apabila Florence Tan, 67, mengambil keputusan untuk menghasilkan buku resepinya sendiri. Bertajuk Resipi Warisan Nyonya yang dikeluarkan pada tahun 2000. Mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan buku tersebut, Florance memberitahu masakan Nyonya sebenarnya satu masakan yang penuh dengan cita rasa unik, pedas, savuri, dan manis. Katanya lagi, walaupun masakan Baba Nyonya boleh diklasifikasikan masakan yang rumit tetapi ia sebenarnya masakan yang mudah sekiranya dilakukan dengan kaedah serta peraturan yang betul.
Buku yang mempunyai 128 muka surat ini juga tidak hanya terdiri daripada resipi-resipi Baba Nyonya tetapi turut menyenaraikan sukatan-sukatan lama kepada sukatan baru. Yang pasti buku ini turut memberikan pelbagai tip dalam masakan serta tidak ketinggalan gambar-gambar masakan yang begitu menarik untuk dikongsi bersama. Berbual lanjut mengenai buku resipi tersebut, ulas Florance, buku keduanya kali ini menampilkan 53 resipi dan rata-ratanya mudah disediakan.
"Buku ini merupakan kesinambungan daripada buku resipi yang pertama. "Walaupun buku sebelum ini turut menampilkan resipi Baba dan Nyonya, tapi percayalah resipinya masih banyak dan ada lagi yang belum dibukukan. "Yang pasti resipi-resipi di dalam buku ini merupakan resipi kegemaran dan disukai selain mudah disediakan dan juga hidangan yang ringkas," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau, kebanyakan resipi yang dimuatkan dalam buku tersebut merupakan resipi masakan warisan keluarganya. Menurut Florance, dengan terbitnya buku masakan tersebut, sekurang-kurangnya resipi masakan Baba Nyonya tidak pupus ditelan zaman. Beliau turut menyatakan ada di antara menu sajian yang ditonjolkan dalam buku tersebut diwarisi turun-temurun sejak 600 tahun lalu. "Apa pun kebanyakan resipi kali ini merupakan masakan harian yang saya sering masak untuk keluarga mahupun ketika menjamu rakan-rakan," katanya.
Ditanya apakah elemen utama yang menjadi signature dalam masakan Baba Nyonya, kata Florence, kebanyakan masakan ditumis terlebih dahulu.
Jelas Florance lagi, masakan Baba Nyonya yang terdapat di dalam buku ini mempunyai pengaruh Melayu, Cina, dan Barat. Selain itu, tambah 'sifu' masakan ini, masakan Baba Nyonya juga banyak menggunakan kicap pekat, kicap cair dan juga cendawan. Katanya, pembaca juga bertuah kerana selain resipi, turut diselitkan beberapa tip dan teknik yang betul dalam penyediaan masakan Baba dan Nyonya.
Buku ini boleh didapati di rangkaian kedai buku terkemuka dan ia juga boleh dibeli secara dalam talian. Hanya berharga RM42.90, peminat masakan boleh memiliki buku Resipi Warisan Nyonya dalam bahasa Malaysia manakala untuk edisi bahasa Inggeris buku ini berharga RM49.90. Bercerita mengenai perancangan masa depan, Florance memberitahu beliau kini dalam proses mengeluarkan buku resipi kek dan biskut. Katanya, kesemua resipi telah siap dan hanya tinggal proses terakhir untuk dicetak. "Harap semua sabar menanti keluaran buku kek dan biskut ini yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. "Buku ini juga merupakan buku kedua untuk kek dan biskut dari saya," katanya sebelum mengakhiri bicara. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121005/ke_01/Resepi-warisan-Florence#ixzz28lMFof00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Berhabis untuk uji rasa


Zainuddin Zainal Abidin berbangga dengan menu yang dihidangkan di gerainya.
SUKA makan, suka masak dan cerewet dengan rasa, itulah yang boleh dikatakan mengenai pemilik gerai Mee Goreng Sotong Power di Seksyen 2, Shah Alam, Zainuddin Zainal Abidin, 39.
Katanya, semasa bertugas di Pulau Mutiara, beliau selalu menjamu selera di Padang Kota dan salah satu menu kegemarannya mi goreng sotong.
"Apabila berpindah ke Shah Alam, saya memang teringin makan mi goreng sotong yang sama seperti dulu," katanya.
Justeru, beliau dan isteri cuba memasak sendiri beberapa kali sehingga mendapat rasa seperti di Padang Kota.
Mencicip mi goreng sotong power dengan sotong yang lembut diadun dengan sambal yang secukup rasa memang cukup menyelerakan.
Ditambah dengan perahan air asam limau nipis cukup membuka selera.
antara menu yang bakal membangkitkan selera pelanggan.

Zainuddin mengakui menghabiskan beribu Ringgit Malaysia hanya untuk uji rasa masakan yang dihasilkan.
"Setiap kali juga saya akan ajak kawan-kawan untuk merasai masakan saya dan saya terima semua kritikan bagi menjadikan masakan lebih enak," katanya.
Misalnya sotong yang digunakan direbus sehingga lembut, ini bukan saja dapat melembutkan sotong tetapi juga mengelakkan sambal cepat rosak.
Satu lagi resipi baru yang menjadi pilihan pelanggan, Crazy Tongue Chicken Rice juga mendapat sentuhan istimewa Zainuddin.
Selain itu gerainya juga menyajikan mi goreng ayam power, mi goreng telur mata dan mi goreng power, nasi ayam crazy tongue, mi rebus sempoi dan rojak tauhu.
Zainuddin menambah pihaknya juga menerima tempahan katering mi goreng sotong power dengan memasak sendiri di rumah pelanggan.
Apa lagi jomlah merasai mi goreng sotong power atau nasi ayam crazy tongue di Seksyen 2, Shah Alam, Selangor.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121007/ke_03/Berhabis-untuk-uji-rasa#ixzz28lLzYmm2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami kena bersihkan jiwa



WALAU apa pandangan pembaca tentang rencana fiil isteri zaman ini minggu lalu, saya setuju dengan penulisnya, sebab dari pengalaman dan pemerhatian saya yang sudah bergelar isteri, ibu dan nenek bahawa wanita tak boleh pandang remeh pandangan suami, kita kena 'go back to basics,' maknanya kembali kepada Quraan dan Sunnah. Itu kata Saleha dalam emelnya.
''Namun bukan semua benda kena ikut telunjuk suami, tapi kena faham kedudukan suami dan isteri dalam Islam. Sebagai contoh, rajin belajar agama tapi tak hormat suami, terlampau nak kumpul pahala hingga lupa peranan isteri. Atau ada isteri terlalu moden, hidup macam mat salleh semua benda nak kerah suami.
''Saya sedar pandangan Shahzan pasti mendapat banyak reaksi negatif dari wanita, tetapi sebelum melenting, buka mulut dan marah-marah, duduk diam, tenang dan fikir dulu. Tolak tepi kisah isteri didera, suami tak membantu dan sebagainya, sebab topik itu lain kerana ada jalan penyelesaian.
''Topik ini lain, pasal perangai isteri yang tak masuk ajar. Kita jangan mudah hot, tetapi nilai dulu hati dan perangai kita. Jangan nak berbalas tembakan.
''Kepada isteri yang baik, jika ditakdirkan dapat suami perangainya macam *#@&^*&^, bersabar, banyakkan berdoa kepada Allah semoga suami kita berubah.'' Itu nasihat Saleha.
Dari banyak emel yang diterima lebih ramai menyalahkan Shahzan, Antara pandangan yang diterima datang dari Azimah katanya lelaki yang suka salahkan wanita jelas terlalu emosional, ada kelemahan diri dan kecewa kerana kegagalan berumah tangga, sebab itu dia tidak nampak kebaikan isterinya.
Sabrina pula dalam emelnya tidak setuju dengan pandangan Shahzan, kalau dia benar-benar tidak puashati dengan khidmat yang diberikan cari saja pengganti. ''Luka kalau dijahit pasti ada parut. Pada pandangan saya jika suami sudah bencikan isteri pasti tidak ada yang baik terlihat dalam diri isterinya, jadi apa tunggu lagi, lebih baik cari yang baru."
Zettyarina dalam emelnya berkata dia bukan hendak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi kita harus terima bahawa yang sempurna hanyalah Allah.
''Membaca tulisan Shahzan, saya agak terkilan dengan persepsi anda tentang perkahwinan. Perkahwinan adalah perkongsian dua hati dan perkongsian tanggungjawab yang diamanahkan Allah. Suami dan isteri, masing-masing ada hak. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf. Suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya." (Surah al-Baqarah 2:228).
''Tetapi saya tidak mahu membicarakan persoalan ini dalam konteks agama kerana bukan bidang saya.
''Tanggungjawab isteri bukan saja sediakan makan minum keluarga. Jika isteri rela melakukannya maka balasan pahala dijanjikan Allah. Saya pasti di zaman ini kebanyakkan isteri bekerja bukan saja memasak dan sediakan makan minum suami dan keluarga malah membeli keperluan asas dengan wang gaji sendiri.
''Perkara remeh begini membuatkan saya muak membicarakannya. Saya didik anak-anak lelaki saya jalankan tanggungjawab yang akan mereka lakukan pada masa depan. Saya didik mereka dengan nasihat, "Jangan sesekali benarkan anak dan isteri heret engkau masuk Neraka."
''Tanggungjawab menjadi suami bukan sekadar mencari nafkah, menyediakan keperluan asas keluarga saja. Malah suami mesti didik anak dan isteri jalan ke syurga. Jangan izinkan isteri buat kerja yang bukan tanggungjawab mereka secara paksa-rela.
''Isteri perlu dididik bukan dijadikan 'orang gaji' tanpa sedar. Anak-anak lelaki di rumah, saya galakkan membantu sediakan makan minum, pendek kata melakukan kerja yang lazim dilakukan oleh isteri dan ibu.
''Mungkin pembaca kata anak-anak lelaki saya akan dibuli oleh isteri mereka di masa depan. Seperti yang saya katakan, saya tidak benarkan menantu dan cucu saya pada masa depan mengheret anak-anak lelaki saya ke neraka. Jika anak-anak lelaki jalankan tanggungjawabnya sebagai suami dan ayah yang baik, Insyaallah keluarganya pasti mengasihi dan menyayanginya.
''Bacalah buku mengenai kehidupan. Jangan sempitkan maksud perkahwinan dan tanggungjawab. Perkahwinan bukan pelaburan untuk membawa keuntungan. Perkahwinan adalah medan mengaut sebanyak pahala Allah. Memang benar tulisan saudara Shahzan berlandaskan riwayat Tarmizi dan Ibnu Sibban bahawa isteri wajib taat pada suami. Persoalannya suami bagaimana?
''Walaupun ayah kepada anak-anak saya gagal memberi nafkah kepada anak-anaknya, tetapi saya terapkan kepada mereka, "Jangan persoalkan tanggungjawab orang lain, persoalkan diri sendiri. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, " Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri: padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Rujukan: Solusi isu no 48, m/s 68).
''Isteri perlu dididik dengan sabar kerana dia perempuan. Perempuan itu sifatnya penuh emosi dan kemanjaan. Nafsunya melebihi nafsu lelaki. Itulah sebabnya Allah ciptakan lelaki sebagai pemimpin kepada perempuan.
''Tapi berapa ramai suami melepaskan tanggungjawab kepada isteri? Berapa banyak kes pemberian nafkah terhadap isteri dan anak-anak tertangguh di mahkamah? Berapa ramai isteri menyara anak dengan gaji sendiri?
''Pada saya Shahzan perlu berfikiran lebih global. Perkahwinan bukan hanya taat isteri pada suami untuk memenuhi biologi manusia secara halal tetapi adalah penyatuan dua hati yang berbeza cara hidup dalam redha Allah.
''Suami dan isteri saling melengkapi, jika tahu peranan masing-masing. Berfikirlah seperti umat Islam yang mempunyai pemikiran kelas pertama yang mengakui fitrah kejadian manusia dan perkahwinan satu ibadah.
''Maaf jika ada yang terasa. Berkata benarlah walaupun pahit. Pemikiran yang matang akan melahirkan generasi lebih matang. Ramai isteri bukan saja menyumbang tenaga dalam rumah, malahan menyumbang pendapatan untuk menjana ekonomi rumahtangga.
''Kasihani isterimu kerana dia makhluk Allah yang lembut. Didiklah isteri-isteri dan anak-anak supaya mereka boleh membawa kamu ke syurga."


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121007/ke_02/Suami-kena-bersihkan-jiwa#ixzz28lLladh5
© Utusan Melayu (M) Bhd