Quesadilla
SEJAUH mana anda menggemari makanan antarabangsa? Apa kata sesekali kita mencuba makanan antarabangsa yang jarang-jarang kita nikmati.
Jadi tidaklah kita berasa jemu dengan makanan yang biasa kita jamah hari-hari. Barulah kita dapat satu pengalaman yang baru dengan menikmati makanan yang berbeza.
Oleh kerana itu pada minggu ini saya akan menulis tentang satu juadah antarabangsa yang dikenali dengan nama Quesadilla.
Mungkin ada di antara anda yang tidak pernah mendengar dan merasai makanan ini. Bukan apa, saya memilih juadah ini pada minggu ini untuk dikongsikan bersama pembaca kerana saya telah berkesempatan merasai makanan ini ketika datang memeriahkan peperiksaan akhir pelajar-pelajar seni kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang bagi subjek Makanan Antarabangsa pada 12 September lalu yang membawa tema Makanan Jalanan (Street Food).
Terdapat pelbagai gerai yang menyajikan makanan-makanan antarabangsa mengikut benua. Setiap makanan yang mereka sediakan mengikut kumpulan masing-masing untuk memenuhi tema pada malam itu.
Pelajar-pelajar ini perlu menyediakan juadah-juadah antarabangsa bagi memenuhi keperluan subjek ini untuk melengkapkan pembelajaran mereka.
Setiap makanan yang disediakan telah dinilai oleh pensyarah mereka. Dengan hidangan yang disediakan ini para jemputan yang juga di kalangan warga pensyarah warga kerja dan pelajar-pelajar fakulti ini dapat merasai air tangan mereka.
Agak mengagumkan kerana mereka dapat menyediakan pelbagai jenis juadah yang datang dari semua benua dan saya mengucapkan syabas kepada semua pelajar semester lima.
Mereka telah berjaya menyediakan makanan yang bukan sahaja enak tetapi dapat memberikan informasi tentang makanan yang mungkin baru kepada mereka yang menghadiri majlis peperiksaan akhir ini.
Ia adalah suatu pencapaian yang memang membanggakan.
Banyak jugalah informasi yang saya dapat daripada makanan yang mereka sediakan. Contohnya, dari mana asal-usul makanan itu, apakah maksud nama makanan, cara membuatnya, bahan-bahan dan sebagainya.
Inilah menariknya tentang makanan, bukan sahaja untuk dimakan tetapi ada nilai pengetahuan am yang boleh kita dapati yang kita tidak tahu selama ini.
Saya sangat tertarik dengan Quesadilla ini apabila saya singgah di gerai makanan Mexico untuk merasa juadah tersebut.
Ini memberi idea untuk saya menulis tentang Quesadilla untuk topik minggu ini. Bagi saya makanan yang berasal dari Mexico ini adalah makanan yang unik.
Cara membuatnya tidaklah sukar dan yang paling penting bahan-bahannya mudah didapati untuk kita sediakan.
Quesadilla disebut dengan bunyi seperti kesedia. Ia diperbuat daripada roti tortilla yang dilipat dua. Di tengahnya mempunyai isi daripada pelbagai jenis isian. Antara isi yang biasa digunakan termasuk ayam bakar, ayam barbeku, daging lembu bakar, hot dog, dan bacon (kepingan daging lembu).
Nama ini berasal dari makna keju dalam bahasa Sepanyol iaitu queso yang antara menjadi bahan utama untuk isinya.
Tortilla yang telah diletak isi seperti keju dan bahan isi yang lain akan dilipat dua dan dipanaskan dengan sedikit minyak di atas kuali leper sehingga keju menjadi cair dan perang,
Kemudian, dihidangkan dengan salsa yang diperbuat daripada sayur-sayuran atau boleh juga dimakan bersama guacamole yang diperbuat daripada buah avokado, bawang cincang, dan cili hijau. Quesadilla yang telah digoreng akan dipotong baji atau segitiga.
Setiap daerah di Amerika utara dan Mexico mempunyai cara berbeza membuat sajian ini. Di daerah sebelah utara Mexico mereka lebih suka menggunakan tortilla yang diperbuat daripada jagung tetapi di bahagian tengah dan selatan pula kebanyakan mereka suka menggunakan tortilla yang diperbuat daripada gandum.
Anda bebas menggunakan isi yang anda suka tetapi yang penting perlu menggunakan bahan utama iaitu tortilla, dan keju. Jadi apa lagi cubalah resipi antarabangsa dari Mexico ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121005/ke_02/Cita-rasa-Mexico#ixzz28lMa3PWs
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment