Para sukarelawan Red Ribbon tidak ketinggalan bergambar bersama peserta konvoi.
GELARAN bikers sememangnya cukup sinonim dengan mereka yang gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Sudah menjadi kebiasaan buat si bikers untuk menunggang secara berkumpulan terutamanya pada hari minggu.
Ramai yang beranggapan tunggangan secara konvoi itu hanya sekadar untuk mengisi masa terluang.
Namun hakikat itu sudah berubah kerana budaya konvoi kini kebanyakannya turut diselitkan dengan aktiviti amal.
Baru-baru ini, penulis berpeluang mengikuti konvoi amal, Pink Ribbon Wellness Foundation Charity Ride 2012 yang berlangsung pada 15 September lalu.
Konvoi tersebut yang diadakan buat julung kalinya bermula dari Singapura dan ia berjaya menghimpunkan hampir 30 buah motosikal pelbagai jenis.
Dari Kota Singa, mereka bergerak menuju ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan 50 penunggang tempatan sebelum bergerak ke Ipoh, Perak Darul Ridzuan.
Selepas berkumpul di AnCasa Hotel & Spa, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur, kesemua peserta mengharungi pengembaraan sambil mata menikmati keindahan alam semula jadi yang terdapat di sepanjang jalan.
Istimewanya konvoi sejauh 560 kilometer ini adalah setiap peserta berpeluang melancong dan menguji kemampuan motosikal masing-masing sambil menyempurnakan misi bantuan yang dihulurkan kepada mereka yang memerlukan.
Setelah satu jam setengah masa berlalu, akhirnya kesemua peserta selamat tiba di Ipoh Parade bagi mengikuti acara menarik yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
Penaung Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia, Puan Seri Maniseh Adam berkata, mungkin ramai yang melihat program ini sekadar suka-suka tetapi sebaliknya ia menyampaikan suara menerusi kempen menghargai kehidupan istimewa pesakit kanser payu dara.
Sehingga kini, kanser payu dara masih kekal sebagai penyakit utama dan lebih membimbangkan, ia turut menjadi pembunuh utama di kalangan kaum wanita.
Di Malaysia, kajian turut membuktikan, kira-kira satu daripada 20 wanita berisiko mendapat kanser berkenaan.
Oleh itu, menjadi cabaran buat Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia untuk membantu pesakit dari segi menawarkan harapan yang realistik," katanya.
Jelasnya lagi, kehadiran pelbagai kelab motosikal tempatan dan luar negara yang menyertai konvoi amal itu membuktikan bahawa golongan bikers turut tidak ketinggalan menghulurkan bantuan dengan menjadi ahli sukarelawan dan melakukan kerja-kerja amal sama ada melalui sumbangan berupa masa, tenaga, wang ringgit ataupun barangan.
Kami percaya bahawa maklumat yang tersedia perlu dikongsi bersama agar ia boleh digunakan untuk membantu golongan wanita dari segi mengawal dan membasmi kanser payu dara sejajar dengan wawasan dan misi kami.
Dengan dana yang dikumpulkan, Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia bakal membantu wanita yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi agar mereka tidak dibebani kos rawatan di samping menyokong mereka untuk terus berusaha melawan kanser tersebut," ujarnya.
Selain aktiviti konvoi, acara Pink Ribbon Wellness Foundation Charity Ride 2012 turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, bengkel penerangan dan tip penjagaan kesihatan yang disampaikan oleh Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia, Dr. M. Devanand.
Dr. M. Devanand berkata, kebanyakan wanita takut dengan kanser payu dara dan ada yang memperkecilkan risiko penyakit itu.
Oleh itu, kaum wanita perlu diberi bimbingan tanpa berasa malu untuk berbincang secara terbuka.
Kemajuan teknologi sains molekul dan genetik yang dikecapi hari ini bakal mencipta strategi-strategi baru di samping memberi harapan kepada mereka.
Mungkin agak sukar untuk yayasan ini mencapai matlamat tetapi dengan kerjasama semua pihak, kita pasti berjaya membasmi kanser payu dara pada Januari 2020," katanya.
Syabas dan tabik dari .com kepada mereka yang menjayakan program ini.
- SYAHRIL (Yang mengikuti lawatan ke Ipoh, Perak, tajaan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd.)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120929/ke_02/Kembara-amal-Pink-Ribbon#ixzz28lP2kGAd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment