Pages

Translate

Showing posts with label Makanan Sedap. Show all posts
Showing posts with label Makanan Sedap. Show all posts

Monday, October 8, 2012

Mi rebus Sitti Jumaida



Sitti Jumaida Mundir menunjukkan mi rebus Johor hasil sajiannya.
TIDAK keterlaluan sekiranya mengklasifikasikan Johor sebagai sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai makanan yang enak.
Ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan masakan yang terkenal hari ini datang dari negeri tersebut.
Antaranya termasuk nasi beriani, mi rebus, lontong, laksa Johor, dan juga soto.
Hari ini kebanyakan masakan-masakan tersebut boleh didapati di ibu negara yang sememangnya terkenal dengan jolokan 'syurga' makanan.
Untuk itu, bagi mereka yang ingin menikmati semangkuk mi rebus Johor terbaik apa kata kunjungi gerai makanan tersebut yang terletak di Restoran Hanna, No. 32, Jalan UP 1/7, UK Perdana 1, Ampang, Selangor.
Biarpun hanya beroperasi di gerai yang disewa di restoran tersebut, menurut pemiliknya, Sitti Jumaida Mundir (Sitti), 26, keistimewaan mi rebus yang diusahakannya itu terletak pada kuahnya yang pekat.
Tambahnya lagi, resipi yang digunakan adalah resipi turun temurun yang diperoleh daripada pemiliknya yang merupakan orang kelahiran Johor.
"Sebenarnya, resipi ini merupakan resipi turun-temurun yang diusahakan oleh pengusahannya di Johor.
"Saya mendapat resipi asli ini kira-kira 12 tahun lalu tetapi tidak pernah terfikir untuk berniaga.
"Bagaimanapun baru-baru ini saya mula terfikir apa salahnya berkongsi dengan mereka yang gemar makanan ini," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Yang pasti, walaupun baru beroperasi sekitar Mei lalu, Sitti memberitahu dia menyediakan kira-kira 20 kilogram (kg) mi setiap hari manakala untuk kuahnya pula Sitti memperuntukkan lima kg daging segar.
Berbicara mengenai bahan-bahan yang digunakan, Sitti memberitahu dia hanya menggunakan bahan-bahan segar dan sudah pasti kesemuanya adalah bahan tempatan.
Katanya, kuah mi dihasilkan dengan air rebusan daging dan hanya daging segar yang mampu menjadikan kuah mi rebusn manis serta pekat.
Sememangnya kelazatan mi rebus ini terletak pada ramuan kuahnya.
Gerai yang dibuka dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam itu juga menjadi pilihan penduduk setempat dan sekitar kawasan tersebut sehinggakan Sitti sendiri tidak menang tangan.
Menawarkan dua jenis mi rebus, biasa dan istimewa, harga yang ditawarkan Sitti cukup munasabah dan berbaloi, RM4.50 (biasa) dan RM5.50 (istimewa).
Menurut Sitti, apa yang membezakannya cuma mi rebus Johor istimewa akan disertakan dua ekor udang manakala yang biasa tidak disertakan udang.
Yang pasti, mi rebus di gerai Sitti diadun dengan betul dan rasanya juga cukup unik.
Mi rebus Johor ini turut disajikan dengan keropok, sebahagian daripada hidangan yang menyebabkan rasanya begitu berbeza.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121005/ke_03/Mi-rebus-Sitti-Jumaida#ixzz28lMkLiZH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cita rasa Mexico



Quesadilla
SEJAUH mana anda menggemari makanan antarabangsa? Apa kata sesekali kita mencuba makanan antarabangsa yang jarang-jarang kita nikmati.
Jadi tidaklah kita berasa jemu dengan makanan yang biasa kita jamah hari-hari. Barulah kita dapat satu pengalaman yang baru dengan menikmati makanan yang berbeza.
Oleh kerana itu pada minggu ini saya akan menulis tentang satu juadah antarabangsa yang dikenali dengan nama Quesadilla.
Mungkin ada di antara anda yang tidak pernah mendengar dan merasai makanan ini. Bukan apa, saya memilih juadah ini pada minggu ini untuk dikongsikan bersama pembaca kerana saya telah berkesempatan merasai makanan ini ketika datang memeriahkan peperiksaan akhir pelajar-pelajar seni kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang bagi subjek Makanan Antarabangsa pada 12 September lalu yang membawa tema Makanan Jalanan (Street Food).
Terdapat pelbagai gerai yang menyajikan makanan-makanan antarabangsa mengikut benua. Setiap makanan yang mereka sediakan mengikut kumpulan masing-masing untuk memenuhi tema pada malam itu.
Pelajar-pelajar ini perlu menyediakan juadah-juadah antarabangsa bagi memenuhi keperluan subjek ini untuk melengkapkan pembelajaran mereka.
Setiap makanan yang disediakan telah dinilai oleh pensyarah mereka. Dengan hidangan yang disediakan ini para jemputan yang juga di kalangan warga pensyarah warga kerja dan pelajar-pelajar fakulti ini dapat merasai air tangan mereka.
Agak mengagumkan kerana mereka dapat menyediakan pelbagai jenis juadah yang datang dari semua benua dan saya mengucapkan syabas kepada semua pelajar semester lima.
Mereka telah berjaya menyediakan makanan yang bukan sahaja enak tetapi dapat memberikan informasi tentang makanan yang mungkin baru kepada mereka yang menghadiri majlis peperiksaan akhir ini.
Ia adalah suatu pencapaian yang memang membanggakan.
Banyak jugalah informasi yang saya dapat daripada makanan yang mereka sediakan. Contohnya, dari mana asal-usul makanan itu, apakah maksud nama makanan, cara membuatnya, bahan-bahan dan sebagainya.
Inilah menariknya tentang makanan, bukan sahaja untuk dimakan tetapi ada nilai pengetahuan am yang boleh kita dapati yang kita tidak tahu selama ini.
Saya sangat tertarik dengan Quesadilla ini apabila saya singgah di gerai makanan Mexico untuk merasa juadah tersebut.
Ini memberi idea untuk saya menulis tentang Quesadilla untuk topik minggu ini. Bagi saya makanan yang berasal dari Mexico ini adalah makanan yang unik.
Cara membuatnya tidaklah sukar dan yang paling penting bahan-bahannya mudah didapati untuk kita sediakan.
Quesadilla disebut dengan bunyi seperti kesedia. Ia diperbuat daripada roti tortilla yang dilipat dua. Di tengahnya mempunyai isi daripada pelbagai jenis isian. Antara isi yang biasa digunakan termasuk ayam bakar, ayam barbeku, daging lembu bakar, hot dog, dan bacon (kepingan daging lembu).
Nama ini berasal dari makna keju dalam bahasa Sepanyol iaitu queso yang antara menjadi bahan utama untuk isinya.
Tortilla yang telah diletak isi seperti keju dan bahan isi yang lain akan dilipat dua dan dipanaskan dengan sedikit minyak di atas kuali leper sehingga keju menjadi cair dan perang,
Kemudian, dihidangkan dengan salsa yang diperbuat daripada sayur-sayuran atau boleh juga dimakan bersama guacamole yang diperbuat daripada buah avokado, bawang cincang, dan cili hijau. Quesadilla yang telah digoreng akan dipotong baji atau segitiga.
Setiap daerah di Amerika utara dan Mexico mempunyai cara berbeza membuat sajian ini. Di daerah sebelah utara Mexico mereka lebih suka menggunakan tortilla yang diperbuat daripada jagung tetapi di bahagian tengah dan selatan pula kebanyakan mereka suka menggunakan tortilla yang diperbuat daripada gandum.
Anda bebas menggunakan isi yang anda suka tetapi yang penting perlu menggunakan bahan utama iaitu tortilla, dan keju. Jadi apa lagi cubalah resipi antarabangsa dari Mexico ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121005/ke_02/Cita-rasa-Mexico#ixzz28lMa3PWs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Resepi warisan Florence


Selain menghasilkan buku Florence Tan juga kerap diundang dalam program-program masakan di televisyen.



Buku Resipi Warisan Nyonya hasil nukilan Florence Tan.




NAMANYA cukup sinonim dengan masakan Baba Nyonya. Malah kelincahannya menyediakan juadah keturunan tersebut cukup memikat hati sesiapa sahaja yang menonton rancangannya di kaca televisyen. Turut memiliki perwatakan yang ceria dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja, chef selebriti berketurunan Baba Nyonya ini juga tidak lokek untuk berkongsi resepi masakannya malah cukup berbangga dapat berbuat demikian.
Ini dapat dilihat apabila Florence Tan, 67, mengambil keputusan untuk menghasilkan buku resepinya sendiri. Bertajuk Resipi Warisan Nyonya yang dikeluarkan pada tahun 2000. Mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan buku tersebut, Florance memberitahu masakan Nyonya sebenarnya satu masakan yang penuh dengan cita rasa unik, pedas, savuri, dan manis. Katanya lagi, walaupun masakan Baba Nyonya boleh diklasifikasikan masakan yang rumit tetapi ia sebenarnya masakan yang mudah sekiranya dilakukan dengan kaedah serta peraturan yang betul.
Buku yang mempunyai 128 muka surat ini juga tidak hanya terdiri daripada resipi-resipi Baba Nyonya tetapi turut menyenaraikan sukatan-sukatan lama kepada sukatan baru. Yang pasti buku ini turut memberikan pelbagai tip dalam masakan serta tidak ketinggalan gambar-gambar masakan yang begitu menarik untuk dikongsi bersama. Berbual lanjut mengenai buku resipi tersebut, ulas Florance, buku keduanya kali ini menampilkan 53 resipi dan rata-ratanya mudah disediakan.
"Buku ini merupakan kesinambungan daripada buku resipi yang pertama. "Walaupun buku sebelum ini turut menampilkan resipi Baba dan Nyonya, tapi percayalah resipinya masih banyak dan ada lagi yang belum dibukukan. "Yang pasti resipi-resipi di dalam buku ini merupakan resipi kegemaran dan disukai selain mudah disediakan dan juga hidangan yang ringkas," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau, kebanyakan resipi yang dimuatkan dalam buku tersebut merupakan resipi masakan warisan keluarganya. Menurut Florance, dengan terbitnya buku masakan tersebut, sekurang-kurangnya resipi masakan Baba Nyonya tidak pupus ditelan zaman. Beliau turut menyatakan ada di antara menu sajian yang ditonjolkan dalam buku tersebut diwarisi turun-temurun sejak 600 tahun lalu. "Apa pun kebanyakan resipi kali ini merupakan masakan harian yang saya sering masak untuk keluarga mahupun ketika menjamu rakan-rakan," katanya.
Ditanya apakah elemen utama yang menjadi signature dalam masakan Baba Nyonya, kata Florence, kebanyakan masakan ditumis terlebih dahulu.
Jelas Florance lagi, masakan Baba Nyonya yang terdapat di dalam buku ini mempunyai pengaruh Melayu, Cina, dan Barat. Selain itu, tambah 'sifu' masakan ini, masakan Baba Nyonya juga banyak menggunakan kicap pekat, kicap cair dan juga cendawan. Katanya, pembaca juga bertuah kerana selain resipi, turut diselitkan beberapa tip dan teknik yang betul dalam penyediaan masakan Baba dan Nyonya.
Buku ini boleh didapati di rangkaian kedai buku terkemuka dan ia juga boleh dibeli secara dalam talian. Hanya berharga RM42.90, peminat masakan boleh memiliki buku Resipi Warisan Nyonya dalam bahasa Malaysia manakala untuk edisi bahasa Inggeris buku ini berharga RM49.90. Bercerita mengenai perancangan masa depan, Florance memberitahu beliau kini dalam proses mengeluarkan buku resipi kek dan biskut. Katanya, kesemua resipi telah siap dan hanya tinggal proses terakhir untuk dicetak. "Harap semua sabar menanti keluaran buku kek dan biskut ini yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. "Buku ini juga merupakan buku kedua untuk kek dan biskut dari saya," katanya sebelum mengakhiri bicara. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121005/ke_01/Resepi-warisan-Florence#ixzz28lMFof00
© Utusan Melayu (M) Bhd