Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Selesa tanpa protokol


Chef Emmanuel Stroobant yang lebih terkenal dengan gelaran Chef In Black.
KATANYA lagi, setiap individu mempunyai kegemaran serta cara masing-masing dan apa yang ditampilkan ketika berada di dapur menunjukkan itulah dirinya yang sebenar.
Disebabkan itu juga dapat dilihat peralatan dapur seperti pisau mahupun periuk belanga yang digunakan adalah minimum.
Menurutnya, dia tidak memerlukan perkakasan yang begitu banyak, memadai apa yang hendak digunakan ketika memasak.
Jelas sekali apa yang dikatakan benar kerana ketika ditemui di Petaling Jaya sempena siri lawatannya ke Malaysia, baru-baru ini, dia yang lebih terkenal dengan gelaran Chef In Black, hanya mempunyai sebilah pisau untuk semua kerja.
Begitupun, kerja yang dilakukannya amat pantas, cekap dan lancar tanpa sebarang gangguan mahupun kekurangan peralatan.
"Saya sukakan sesuatu yang sederhana. Ini termasuklah hidangan yang dimasak.
"Walaupun hidangan tersebut merupakan masakan yang sederhana, tetapi ia perlu dimasak dengan penuh keikhlasan agar mereka yang memakannya dapat merasai kenikmatan hidangan tersebut.
"Pada masa yang sama jadikan masakan satu perkara yang menyeronokkan agar anda dapat menghasilkan sesuatu yang begitu enak untuk dinikmati," ujar Stroobant.
Beliau yang gemar memasak sambil diiringi alunan muzik memberitahu tabiat tersebut tidak dapat 'dipisahkan' kerana ia memberi satu rangsangan dan inspirasi ketika berada di dapur.
Berbicara lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang masakan, jelas Chef Stroobant, kerjayanya bermula ketika dia berumur 16 tahun sebagai pencuci pinggan.
Dua tahun selepas itu dia mula mengorak langkah apabila mendaftarkan diri di sebuah institut hospitaliti dalam bidang masakan.
Tanpa menoleh kebelakang dan melakukan apa yang diminati dengan begitu tekun akhirnya di usia 23 tahun, dia berjaya membuka restoran pertama di negara kelahirannya.
Bermula daripada situlah kerjanya sebagai tukang masak mula berkembang. Siapa sangka di usia 44 tahun hari ini dia telah mempunyai enam buah restoran di Singapura selain dikenali sebagai chef selebriti.
Dia memberitahu, kesemua ahli keluarganya memang meminati bidang masakan. Malah bapanya ada membuka sebuah kafe di Belgium.
Katanya, walaupun bapanya bukanlah seorang chef tetapi disebabkan begitu komited dalam bidang masakan sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya.
"Jika dilihat daripada sejarah keluarga sebenarnya tiada seorang pun yang bergelar chef. Tetapi ayah dan ahli keluarga yang lain sememangnya meminati bidang masakan. Secara tidak langsung tempias itu turut terkena kepada saya.
"Walaupun ayah bukan seorang chef tetapi dai ada membuka sebuah kafe di Belgium dan kami sekeluarga akan berkumpul di situ sekiranya ada masa terluang untuk menikmati hidangan bersama-sama.
"Disebabkan itu jugalah saya melibatkan diri secara langsung di dalam bidang masakan ini dan seterusnya menjadikan ini sebagai kerjaya tetap," tambah Stroobant.
Beliau yang gemarkan sesuatu yang klasik turut berkongsi beberapa tip untuk menghasilkan hidangan yang sihat dan berkhasiat iaitu elakkan menggunakan gula putih sebaliknya guna gula perang.
Selain itu, Chef Stroobant turut menyarankan agar minyak ditukar dengan mentega supaya masakan lebih enak dan beraroma.
Beliau yang dilihat kurus dan tegap tidak ketinggalan mendedahkan makanan akan dihadam dengan betul sekiranya menikmati hidangan dengan cara yang betul.
Cara tersebut juga mampu menjadikan kita kenyang walaupun ia dijamah dalam kuantiti yang sedikit.
Tergolong dalam kelompok chef selebriti, Chef Stroobant tidak ketinggalan bercerita mengenai programnya yang mula bersiaran 12 September lalu.
Menampilan tema 36 Cara Untuk Hidup, bakal ditayangkan di saluran Asian Food Channel.
Katanya, siri kali ini berlainan sedikit daripada siri-siri sebelum ini kerana ia menampilkan masakan kegemarannya yang sering dinikmatinya ketika kecil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120928/ke_01/Selesa-tanpa-protokol#ixzz28lPbAsH1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment