Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Sonia cinta barangan antik



Demi kerana minat terhadap barangan antik Sonia sanggup mendalami pengetahuan mengenai barangan berkenaan.
KETIKA usianya 18 tahun, sisipan Mega pernah memaparkan kisah remaja ini yang begitu aktif menceburi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam usia semuda itu, tidak seperti kebanyakan remaja seusianya, Nor Ziehan Sonia Datuk Nik Mokhtar, mencabar diri dengan terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan sosial.
Kini selepas tujuh tahun berlalu, dengan status yang berbeza dan gelaran diraja yang dibawa iaitu Cik Puan Muda selepas bernikah dengan Tunku Aaran Muhamad, Nor Ziehan Sonia atau lebih mesra dengan panggilan Sonia masih lagi aktif dalam NGO di samping menguruskan perniagaan barunya, Beautiful Pottery Chateau.
"Sekarang saya masih terbabit dengan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) tetapi agak memperlahankan aktiviti berbanding tahun lepas kerana saya baru buka perniagaan sendiri.
"Ditambah pula saya kini berbadan dua, jadi memang tak sempat nak ikut aktiviti-aktiviti yang PEKA lakukan. Mungkin bila semua dah stabil saya akan aktif semula dalam aktiviti-aktiviti NGO kerana memang sudah menjadi minat saya sejak zaman remaja lagi," ujar Sonia yang ditemui di premis perniagaannya yang terletak di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menceritakan tentang rutin hariannya, Sonia kini memberikan tumpuan penuh kepada perniagaan yang baharu saja dimulakan kira-kira tiga bulan lalu.
"Biasanya saya akan berada di kedai dari pagi hingga petang. Sebelah malam pula saya habiskan masa bersama suami dan keluarga mertua.
"Hujung minggu kalau tidak ke kedai saya lebih suka duduk di rumah meluangkan masa bersama keluarga dan jarang keluar," katanya.
Selepas berumah tangga Sonia mengambil keputusan untuk tinggal bersama mertua untuk lebih mudah baginya menyesuaikan diri dengan mereka.
"Banyak yang saya pelajari daripada ibu mertua, Datin Paulene Mutamir dan rasa sangat bertuah kerana mempunyai keluarga yang memberi sokongan dalam apa jua yang saya la kukan," katanya.
Ibu Sonia, Datin Noor Sheena Maideen juga banyak membantunya dan selalu memberi bimbingan dan nasihat.
Sonia yang kini sedang mengandung empat bulan juga amat bersyukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan sebuah keluarga yang sangat baik dan hebat.
Berubah bidang
Sonia tidak menafikan setelah berkahwin, minatnya berubah ke arah bidang yang lebih bersifat kewanitaan.
"Sebelum berkahwin saya memang tidak gemar pinggan mangkuk atau barangan antik, tapi selepas berumahtangga semua itu berubah.
"Saya mula serius menceburi bidang perniagaan antik ini apabila makcik saya menjemput saya menjadi rakan kongsi dalam perniagaan hiasan dalaman beliau.
"Perniagaan ini sebenarnya telah bermula sejak empat tahun lalu apabila beliau dan anaknya iaitu sepupu saya, Noor Fariza Hani memulakan perniagaan mereka secara dalam talian.
"Apabila mereka mahu mengembangkan perniagaan dan membuka kedai, makcik menjemput saya menjadi rakan kongsi mereka. Dari situ bermulalah minat saya terhadap barangan yang kami bawa masuk dari Eropah.
"Antaranya termasuk pinggan mangkuk Inggeris, pelbagai perabot antik, perhiasan rumah dan sebagainya," tambahnya.
Memandangkan sepupu Sonia menetap di London, mereka akan berhubung melalui Skype pada setiap malam dan beliau akan menerangkan tentang barangan-barangan antik yang sudah dibeli di sana.
"Apabila barang-barang antik sampai, saya dan makcik akan membaik pulih barangan antik tersebut dengan menukar fabrik yang diimport dari United Kingdom (UK) dan menambah kusyen bagi menambah nilai estetika pada perabot antik tersebut.
"Dari situ saya mempelajari kayu apa yang digunakan dan berapa ratus tahun usia barangan antik tersebut.
"Apabila ada waktu lapang saya akan isikan dengan membaca tentang barangan-barangan antik dan melayari laman web tentang barangan antik serta cara-cara membaik pulih barangan antik," katanya.
Jelasnya, setiap barangan antik ada ciri yang unik walaupun usia barangan antik itu boleh mencecah 200 tahun tapi kualiti yang ada pada barangan antik ini sangat berbeza dari zaman sekarang.
Dari situ katanya, kita dapat lihat betapa telitinya kerja tangan orang dulu-dulu.
Tambah Sonia, Beautiful Pottery Chateau juga menjual pinggan mangkuk seperti Royal Albert yang rekaannya tidak lagi boleh didapati di pasaran.
"Bagi mereka yang meminati pinggan mangkuk Bone China mereka akan menghargai rekaan dan kehalusan corak-corak yang ada pada pinggan mangkuk tersebut.
"Selain barangan lama kami juga menjual barang baru seperti kertas dinding, sarung kusyen, alas meja dan sebagainya yang kesemuanya di import dari Perancis.
"Selain dari itu kami juga mempunyai candelier kristal Bohemian dari Eropah Timur," katanya yang bermatlamat ingin terus berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi biarpun sekarang sibuk dengan aktiviti perniagaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121003/ke_01/Sonia-cinta-barangan-antik#ixzz28lNc9eGv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment