Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Mengenali suami sendiri


KERANA cinta anda telah berumahtangga dengan seseorang yang pada awalnya anda merasakan dialah yang paling sesuai menjadi pasangan dalam hidup.
Sedangkan sebenarnya, hanya selepas beberapa lama tempoh perkahwinan, barulah anda mengenali siapakah suami anda sebenarnya.
Artikel ini ditulis bukan untuk membuat anda rasa resah dan gelisah.
Ia sekadar memberi panduan kepada anda sebagai seorang isteri untuk mengenali siapakah suami anda sebenarnya dan mengapa anda perlu berusaha untuk mengubah sikap atau mendorongnya menjadi insan yang lebih baik.
Apa-apa pun, yang penting perlunya anda mengetahui sikap sebenar suami anda terlebih dahulu.
Sukar dipercayai
Suami anda sering bercakap tidak benar dan selalu menyembunyikan personaliti yang sebenarnya ketika keluar berjanji temu dengan anda. Selalunya perangai ini hanya dapat dikesan selepas beberapa bulan berkahwin. Jika perkara ini berlaku terhadap anda ternyata anda perlu lebih berhati-hati dan selalu bertanyakan kepada rakan-rakannya mengenai apa yang dilakukannya di belakang anda. Tetapi sekiranya rakan suami pun bersubahat dengan suami anda... usahalah cara lain.
Suka bertindak ikut rasa
Dia akan menghubungi anda sesuka hatinya bertanyakan sesuatu dan dilihat suka membuli anda dan tidak suka kata-katanya dibangkang. Suami seperti ini mungkin agak panas baran orangnya, anda sebagai isteri pasti tahu bagaimana untuk memujuk, mungkin dengan cara kelembutan yang anda miliki.
Teragak-agak membuat keputusan
Dia mengajak anda keluar kemudian selang beberapa jam kemudian dia bertukar fikiran pula. Jika anda berkahwin dengannya , pastikan keputusannya benar-benar 'sahih' sebelum melakukan apa-apa aktiviti. Sekiranya berlaku juga lagi... sabar sajalah.
Suka menonjol
Adalah benar pada masa sekarang sebahagian golongan lelaki suka menonjolkan diri dan menjadi insan yang berjaya. Selalunya lelaki seperti ini menawan, kacak dan senang dengan wanita. Namun lelaki seperti ini sebenarnya mudah dan mungkin akan jatuh cinta lagi dengan wanita lain kecuali anda pandai mengendalikan dirinya.
Mendominasi (menguasai)
Dia selalu menguasai segala tindakan dan minda anda sehingga baju anda pun dia yang memilihnya. Anda bakal merasakan hanya sekadar boneka. Lelaki ini juga mudah menggunakan penderaan mental dan fizikal ke atas isterinya.
Tidak mempunyai perasaan
Lelaki jenis ini akan 'mencuri' anda daripada keluarga dengan memisahkan anda daripada rakan-rakan sehingga mengganggu kehidupan biasa anda kerana dia tidak suka melihat anda bergaul dengan orang lain.
Tidak yakin pada diri sendiri
Seorang lelaki yang berharap segalanya pada anda dan segalanya tentang anda. Mula-mula anda akan rasa seronok tetapi lama-kelamaan semuanya menyakitkan hati.
Terlalu mengharapkan kesempurnaan
Dia cuba mengawal kesemua perkara yang anda lakukan dengan tepat untuk mendapatkan kesempurnaan sebagaimana yang dihajatinya. Kemudian, apabila ada masalah mendatang, anda pula dipersalahkan.
Manipulasi
Dia hanya mahu mengawal segalanya termasuk hobi anda sampailah ke perbualan dan segala tindakan yang dilakukan untuk faedah dirinya sahaja sehinggakan semua idea yang dikeluarkan, anda harus mempercayainya biarpun anda sangsi mengenainya
Misteri
Ini bergantung kepada usia dan kematangan. Sekiranya sampai ke tua pun hidup anda masih ditakuk itu, bermaksud lelaki ini tiada objektif yang jelas dalam dirinya dan menganggap kehidupannya adalah mudah termasuk dalam soal kewangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121002/ke_01/Mengenali-suami-sendiri#ixzz28lO8RQLV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Program usahawan


Program yang lebih dikenali sebagai Aura D'Or ini adalah Program Keusahawanan Rakan Niaga, gabungan kerjasama dua syarikat bumiputera iaitu D'or Rue Sdn. Bhd., dan Koperasi Jaringan Usahawan Selangor Berhad (Kojaring).
Bengkel keusahawanan jelajah seluruh negara itu bermula di Pulau Legenda Langkawi, Kedah (7 September), Ipoh, Perak (9 September), Cheras, Kuala Lumpur (10 September), Shah Alam, Selangor (15 September) dan Seremban, Negeri Sembilan (16 September).
Ceramah transformasi keusahawanan yang turut disampaikan Pengerusi Kojaring, Latif Kachong melalui Program Rakan Niaga itu menawarkan pembiayaan mudah dari RM5,000 hingga RM50,000 tanpa penjamin, cagaran atau penyata gaji manakala bayaran balik serendah RM121 sebulan.
Antara keistimewaan menyertai program ini adalah diskaun belian produk emas sadur, fesyen aksesori dan cenderahati korporat sehingga 50 peratus, emas tulen 24k sehingga 70 gram dan keahlian syer dan koperasi Kojaring.
Faedah lain pula termasuklah komisen jualan yang tinggi, insentif perkenal rakan niaga, overiding komisen jualan, perkhidmatan pembiayaan semula konsep tebus dan gadai serta tambah simpanan emas melalui konsep gandaan serta latihan dan bimbingan sehingga mempunyai kiosk dan butik sendiri.
Kepada yang berminat untuk menyertai Program Rakan Niaga ini bolehlah menghubungi mereka di www.dorruecraft.com (03-6184 1662) atau www.kojaring.com (03- 5880 2895)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121003/ke_03/Program-usahawan#ixzz28lNvVjZ3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tidak mahu dimadu


PERKAHWINAN Safia (bukan nama sebenar), 28, bersama Kamarul (bukan nama sebenar) ,30, tidak mampu bertahan lama walaupun mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang comel.
Bukan mereka tidak menyayangi ikatan yang dibina sejak empat tahun lepas, namun hubungan tersebut tidak mampu diselamatkan kerana masing-masing tidak sehaluan lagi.
Walaupun perkahwinan yang dibina atas dasar perasaan cinta, tiada siapa dapat menolak takdir dan ketentuan dari Allah SWT.
Setelah hampir setahun berpisah dan menjadi ibu tunggal di usia muda, kini Safia bahagia menjalani kehidupan barunya bersama-sama dua orang putera yang dikasihi.
Semasa hidup bersama-sama Kamarul, mereka tinggal di Kuala Lumpur namun selepas bercerai, Safia telah pulang ke pangkuan keluarganya di utara tanah air.
Selepas itu, rezekinya bertambah apabila diterima bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah hotel terkemuka di sebuah negeri di utara.
Dengan rezeki itulah dia menyara kedua-dua anaknya.
Bercerita lanjut, Safia memberitahu, dia dan Kamarul berkenalan ketika mereka sama-sama bekerja di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Kamarul mengaku terpukau dengan Safia yang mempunyai wajah cantik dan berperwatakan lemah lembut.
Akui Safia, pada peringkat awal perkahwinan, semuanya indah dan bahagia. Ketika itu, perasaan sayang kepada suami semakin hari semakin bertambah.
"Saya mengenali suami sebagai seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Setelah setahun mengenali hati budi, kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
"Tambahan, ketika mengenali suami, saya baru berpisah dengan bekas kekasih yang dikenali ketika sama-sama belajar di universiti. Kehadiran suami menjadi pengubat luka ketika itu," katanya.
Katanya, dia menerima lamaran Kamarul kerana yakin dapat hidup bahagia selepas berkahwin walaupun lelaki itu mengetahui kisah silamnya dan berjanji menerima diri Safia seadanya.
"Perhubungan kami direstui oleh ibu bapa. Setelah berkahwin, kami telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
"Kehidupan kami bertambah bahagia dengan kelahiran anak lelaki. Tambahan hajat suami untuk mendapat anak sulung lelaki tercapai," katanya.
Tambah Safia, malangnya setelah dia melahirkan anak kedua, segalanya telah berubah. Suaminya mula berubah sikap daripada seorang yang penyayang kepada pendiam dan panas baran.
"Apabila saya melahirkan anak kedua, sedikit demi sedikit perangai suami telah berubah. Dahulunya dia seorang yang suka bergurau kemudian bertukar menjadi pendiam dan panas baran.
"Jika diajak berbincang tentang sesuatu perkara dia akan mula melenting. Cepat sahaja mulutnya memaki-hamun jika ada sahaja kesilapan yang dilakukan," katanya.
Ujarnya lagi, perubahan tersebut menyebabkan hubungan mereka berdua dingin. Kemesraan Kamarul dengan Safia dan anak-anak juga tidak lagi seperti dahulu.
"Segala sifat penyayang dan lemah lembut yang ditunjukkan pada keluarga selama ini hilang begitu saja. Jika ada perkara yang dia rasa tak puas hati, pasti saya menjadi mangsa herdiknya
"Apabila dia marah, bukan sahaja maki-hamun yang keluar dari mulutnya malah pernah beberapa kali dia memukul saya," katanya.
Ketika itu Safia bagai hilang punca mencari penyebab perubahan sikap Kamarul. Segalanya terjawab setelah dia terserempak sendiri dengan Kamarul bersama-sama seorang perempuan di sebuah pusat beli-belah ketika Safia hendak membeli sesuatu yang diperlukan anak-anaknya.
"Dari jauh saya melihat kemesraan mereka berdua. Tidak syak lagi hubungan mereka sangat rapat seperti pasangan kekasih yang hangat bercinta.
"Ketika itu, air mata mengalir laju di pipi. Perasaan dikhianati tidak dapat dibendung lagi. Semua perasaan curiga terjawab akhirnya," katanya.
Disebabkan tidak tahan menanggung perbuatan yang dilakukan oleh suaminya, Safia akhirnya bersuara dan memohon penjelasan dari Kamarul.
"Kamarul mengaku perempuan yang saya nampak itu adalah kekasihnya dahulu. Mereka telah kembali bersama dan merancang untuk bernikah.
"Kerana tidak sanggup dimadukan, akhirnya saya meminta Kamarul ceraikan saya dan membenarkan anak-anak berada dalam jagaan saya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121003/ke_02/Tidak-mahu-dimadu#ixzz28lNkEDcs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sonia cinta barangan antik



Demi kerana minat terhadap barangan antik Sonia sanggup mendalami pengetahuan mengenai barangan berkenaan.
KETIKA usianya 18 tahun, sisipan Mega pernah memaparkan kisah remaja ini yang begitu aktif menceburi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam usia semuda itu, tidak seperti kebanyakan remaja seusianya, Nor Ziehan Sonia Datuk Nik Mokhtar, mencabar diri dengan terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan sosial.
Kini selepas tujuh tahun berlalu, dengan status yang berbeza dan gelaran diraja yang dibawa iaitu Cik Puan Muda selepas bernikah dengan Tunku Aaran Muhamad, Nor Ziehan Sonia atau lebih mesra dengan panggilan Sonia masih lagi aktif dalam NGO di samping menguruskan perniagaan barunya, Beautiful Pottery Chateau.
"Sekarang saya masih terbabit dengan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) tetapi agak memperlahankan aktiviti berbanding tahun lepas kerana saya baru buka perniagaan sendiri.
"Ditambah pula saya kini berbadan dua, jadi memang tak sempat nak ikut aktiviti-aktiviti yang PEKA lakukan. Mungkin bila semua dah stabil saya akan aktif semula dalam aktiviti-aktiviti NGO kerana memang sudah menjadi minat saya sejak zaman remaja lagi," ujar Sonia yang ditemui di premis perniagaannya yang terletak di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menceritakan tentang rutin hariannya, Sonia kini memberikan tumpuan penuh kepada perniagaan yang baharu saja dimulakan kira-kira tiga bulan lalu.
"Biasanya saya akan berada di kedai dari pagi hingga petang. Sebelah malam pula saya habiskan masa bersama suami dan keluarga mertua.
"Hujung minggu kalau tidak ke kedai saya lebih suka duduk di rumah meluangkan masa bersama keluarga dan jarang keluar," katanya.
Selepas berumah tangga Sonia mengambil keputusan untuk tinggal bersama mertua untuk lebih mudah baginya menyesuaikan diri dengan mereka.
"Banyak yang saya pelajari daripada ibu mertua, Datin Paulene Mutamir dan rasa sangat bertuah kerana mempunyai keluarga yang memberi sokongan dalam apa jua yang saya la kukan," katanya.
Ibu Sonia, Datin Noor Sheena Maideen juga banyak membantunya dan selalu memberi bimbingan dan nasihat.
Sonia yang kini sedang mengandung empat bulan juga amat bersyukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan sebuah keluarga yang sangat baik dan hebat.
Berubah bidang
Sonia tidak menafikan setelah berkahwin, minatnya berubah ke arah bidang yang lebih bersifat kewanitaan.
"Sebelum berkahwin saya memang tidak gemar pinggan mangkuk atau barangan antik, tapi selepas berumahtangga semua itu berubah.
"Saya mula serius menceburi bidang perniagaan antik ini apabila makcik saya menjemput saya menjadi rakan kongsi dalam perniagaan hiasan dalaman beliau.
"Perniagaan ini sebenarnya telah bermula sejak empat tahun lalu apabila beliau dan anaknya iaitu sepupu saya, Noor Fariza Hani memulakan perniagaan mereka secara dalam talian.
"Apabila mereka mahu mengembangkan perniagaan dan membuka kedai, makcik menjemput saya menjadi rakan kongsi mereka. Dari situ bermulalah minat saya terhadap barangan yang kami bawa masuk dari Eropah.
"Antaranya termasuk pinggan mangkuk Inggeris, pelbagai perabot antik, perhiasan rumah dan sebagainya," tambahnya.
Memandangkan sepupu Sonia menetap di London, mereka akan berhubung melalui Skype pada setiap malam dan beliau akan menerangkan tentang barangan-barangan antik yang sudah dibeli di sana.
"Apabila barang-barang antik sampai, saya dan makcik akan membaik pulih barangan antik tersebut dengan menukar fabrik yang diimport dari United Kingdom (UK) dan menambah kusyen bagi menambah nilai estetika pada perabot antik tersebut.
"Dari situ saya mempelajari kayu apa yang digunakan dan berapa ratus tahun usia barangan antik tersebut.
"Apabila ada waktu lapang saya akan isikan dengan membaca tentang barangan-barangan antik dan melayari laman web tentang barangan antik serta cara-cara membaik pulih barangan antik," katanya.
Jelasnya, setiap barangan antik ada ciri yang unik walaupun usia barangan antik itu boleh mencecah 200 tahun tapi kualiti yang ada pada barangan antik ini sangat berbeza dari zaman sekarang.
Dari situ katanya, kita dapat lihat betapa telitinya kerja tangan orang dulu-dulu.
Tambah Sonia, Beautiful Pottery Chateau juga menjual pinggan mangkuk seperti Royal Albert yang rekaannya tidak lagi boleh didapati di pasaran.
"Bagi mereka yang meminati pinggan mangkuk Bone China mereka akan menghargai rekaan dan kehalusan corak-corak yang ada pada pinggan mangkuk tersebut.
"Selain barangan lama kami juga menjual barang baru seperti kertas dinding, sarung kusyen, alas meja dan sebagainya yang kesemuanya di import dari Perancis.
"Selain dari itu kami juga mempunyai candelier kristal Bohemian dari Eropah Timur," katanya yang bermatlamat ingin terus berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi biarpun sekarang sibuk dengan aktiviti perniagaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121003/ke_01/Sonia-cinta-barangan-antik#ixzz28lNc9eGv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tangani panik ketika bahaya



Penjenayah sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan mereka kerana itu setiap orang harus sentiasa berwaspada. - Gambar hiasan
PANIK dan ketakutan pasti dirasai oleh sesiapa sahaja semasa berdepan dengan perompak tetapi apakah yang wajar dilakukan pada saat-saat genting itu?
Pengalaman seorang pemuda ketika berhadapan dengan sekumpulan penjenayah baru-baru ini mungkin boleh dijadikan iktibar.
Beliau yang memandu sendirian di sebuah lebuh raya di Lembah Klang pada tengah malah dengan tiba-tiba dipintas dan dihalang laluannya oleh sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki.
Beliau bertambah panik apabila melihat kelima-lima lelaki itu menyerbu ke arahnya dengan seorang daripada mereka mengacukan sebilah pisau.
Tidak ada apa yang mampu dilakukannya selain akur dengan penjenayah itu dan merayu agar tidak dicederakan. Tidak sampai lima minit, selepas mendapat wang dan beberapa barang lain daripada keretanya, penjenayah itu terus berlalu.
Tindakan pemuda itu, yang tidak melawan dan mengikut apa yang diminta oleh penjenayah demi menyelamatkan nyawanya, adalah tindakan yang bijak menurut Master Saiful Hamiruzzaman, Perunding Keselamatan Peribadi dan Anggota Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Ketika berhadapan dengan suasana genting seperti itu, apa yang perlu dilakukan oleh mangsa bukan mempertahan wang atau harta yang dimiliki sebaliknya melepaskan diri dan menyelamatkan nyawa.
"Namun ramai yang tersilap langkah dan bertindak mempertahan wang dan harta tanpa mengukur kemampuan sendiri hingga akhirnya dicederakan atau dibunuh oleh penjenayah," katanya ketika berkongsi tip dan teknik menyelamatkan diri ketika berhadapan penjenayah dalam bengkel Pencegahan Jenayah anjuran Pusat Kecergasan, Celebrity Fitness di Wangsa Maju baru-baru ini.
Menangani panik
Walau sehebat mana ilmu pertahanan diri yang dimiliki seseorang itu, ketika berhadapan penjenayah kemahiran itu kadang kala gagal dipraktikkan dengan sempurna akibat perasaan takut dan panik.
Lagipun lawan mereka itu mungkin lebih hebat lagi. Perasaan panik dan takut adalah tindak balas lumrah pada manusia.
Namun menurut Saiful, kajian yang dilakukan menunjukkan dalam keadaan terdesak, manusia akan mempunyai lebih tenaga dan semangat untuk melawan.
"Ketika semangat dan tenaga untuk melawan itu tinggi, seseorang akan bertindak sama ada secara positif atau sebaliknya. Jika positif mungkin dia boleh menyelamatkan dirinya dan jika negatif ia boleh membawa padah," kata Saiful yang menerima gelaran Master daripada Majlis Pertahanan Diri Sedunia.
Saiful berkata, langkah paling mudah untuk mengatasi perasaan panik dan takut terutama berhadapan situasi mendesak adalah dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya melalui jeritan padu "huhh" seperti yang sering dilakukan dalam seni pertahanan diri.
Nampak mudah, namun jika tidak dibiasakan melalui latihan pernafasan dan jeritan yang betul, seseorang akan gagal untuk melakukannya ketika berhadapan situasi genting sebegitu.
"Kena buat latihan pernafasan dan menjerit. Harus selalu dipraktikkan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Anda mampu melepaskan perasaan takut, panik dan segala yang negatif dalam diri dan kembali lebih tenang serta bersemangat.
"Jeritan itu juga mungkin boleh membantu membuatkan penjenayah terkejut dan membolehkan anda melepaskan diri," katanya.
Namun, teknik ini tidak boleh dipraktikkan dalam semua situasi ketika berhadapan penjenayah. Ia harus mengikut keadaan dan persekitaran.
"Jika penjenayah mengacu senjata seperti pisau, senjata api atau sebagainya, anda tidak boleh menjerit kerana provokasi seumpama itu boleh menyebabkan penjenayah bertindak balas dengan mencederakan atau membunuh mangsa.
"Jadi pertimbangan akal dan pengetahuan risiko perlu sebelum bertindak," katanya.
Bertindak cepat
Jika sebelum ini anda berfikir jenayah tidak akan berlaku kepada anda dan hanya berlaku pada orang lain, anda pasti tersilap. Sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa sekiranya tidak ada kesedaran dan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan.
Penjenayah sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan mereka kerana itu setiap orang harus sentiasa berwaspada.
Tindakan pantas perlu diambil untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.
Saiful berkata kajian menunjukkan sekiranya seseorang itu gagal melepaskan diri apabila terancam dalam tempoh 30 saat, mereka berpotensi menjadi mangsa penjenayah. Kebiasaannya, pada lima saat pertama kejadian mangsa akan berada dalam keadaan keliru kerana terkejut atas apa yang berlaku.
"Jangan biarkan diri terus dalam keadaan itu, sebaliknya mula fikirkan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan diri.
"Dalam tempoh kurang 20 saat itu, cuba berkomunikasi dengan penjenayah akan apa yang diinginkannya. Jika mahukan duit, barang atau sebagainya berikan sahaja bagi mengelak diri dicederakan kerana matlamat akhirnya adalah untuk menyelamatkan diri," katanya.
Saiful juga merujuk kepada trend membimbangkan kebelakangan ini di mana penjenayah mencederakan mangsa terlebih dahulu sebelum melakukan samun atau sebagainya.
Sekiranya penjenayah bertindak agresif, individu boleh melakukan tindakan yang minimum seperti pijak kaki, tendang lutut, tampar muka atau menepuk kedua-dua belah telinga bagi membolehkannya melepaskan diri dan bukannya bertindak mempertahan diri.
"Jika berhadapan dengan ancaman seperti orang tidak siuman atau mabuk, cuba tepuk kedua-dua belah telinga mereka dengan tangan. Ia akan menyebabkan mereka hilang imbangan badan dan seterusnya akan membolehkan anda melepaskan diri," katanya menerangkan beberapa teknik mudah yang boleh digunakan. — BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121004/ke_04/Tangani-panik-ketika-bahaya#ixzz28lNTbZ00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ketabahan ibu anak OKU


Jenny tabah menjaga anaknya, Low Pei Yin yang bermasalah autisme.


HAIRAN dan rasa risau bersarang di hati How Sheng Boew, 53, apabila melihat anak kecilnya, Low Pei Yin tidak memperlihatkan sebarang reaksi ketika mereka berinteraksi biarpun ketika itu sudah mencecah usia tiga tahun.
Bimbang sesuatu terjadi pada anak perempuannya itu, wanita yang lebih mesra dengan panggilan Jenny itu membawanya ke hospital untuk mendapatkan kepastian.
"Anak saya pada ketika itu tidak boleh bercakap tetapi ada mengeluarkan perkataan dan bunyi yang saya sendiri tidak faham.
"Setelah diperiksa dan mendapat pengesahan daripada pihak hospital, doktor mengesahkan anak saya menghidap autisme," katanya.
Pada masa sama, Jenny juga mempunyai seorang anak lelaki, Low Sia Kiong yang mengalami masalah dalam pembelajaran (lembam) serta sukar bergaul dengan orang sekeliling.
Setelah mendapat nasihat daripada doktor pakar, keluarga dan kawan-kawan, Jenny telah menghantar kedua-dua anaknya ke sekolah pendidikan khas di Ampang, Selangor.
Waktu itu Pei Yin baru masuk usia empat tahun dan abangnya berusia tujuh tahun.
Berkat kesabaran wanita ini, Sia Kiong yang kini berusia 21 tahun, dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.
Anak lelakinya itu kini sudah mampu bekerja dan dapat membantu serba sedikit dalam perbelanjaan rumah.
"Sia Kiong kini bekerja di salah sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur," tambahnya.
Melihat perkembangan anak lelakinya yang mampu berdikari sedikit sebanyak Jenny menarik nafas.
Namun hati seorang ibu tetap dilanda rasa rawan lebih-lebih lagi apabila mengenang masa depan Pei Yin, yang kini sudah berusia 18 tahun.
Sebagai remaja autisme, Pei Yin memerlukan penjagaan dan perhatian hampir sepanjang masa.
Menurut Jenny, anak perempuannya bagai berada di dunianya sendiri dan masih tidak boleh mengurus diri sepenuhnya.
"Paling saya bimbang dia suka merayau dan keluar dari rumah, malah sudah tiga kali hilang termasuk baru-baru ini dia menaiki bas ke pusat bandar seorang diri dan tidak tahu jalan balik.
"Memang susah untuk menjaganya sepanjang masa sebab saya dan suami perlu keluar bekerja. Dulu masa Sia Kiong belum bekerja kami tinggalkan dia bersama abangnya itu," katanya.
Ada ketika, Jenny terpaksa mengurung anak gadisnya itu bagi mengelakkan dia merayau dan mengalami sebarang bahaya.
Katanya, bukan tidak kasihan atau bertujuan mendera tetapi itu saja cara terbaik sekiranya dia dan suami tiada di rumah.
"Suami saya kerja bawa teksi, jadi masanya banyak di luar bagi mencari mencari wang menampung kos menghantar anak-anak ke sekolah pendidikan khas," katanya yang turut menjadi sukarelawan di sekolah anaknya itu.
Jauh di sudut hati Jenny, dia mengharapkan agar ada pihak yang sudi membantu anak-anaknya bagi meringankan beban yang ditanggung.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121004/ke_03/Ketabahan-ibu-anak-OKU#ixzz28lNKJzaE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hari Ungu anak autisme


KESUKARAN berinteraksi dan berkomunikasi serta perlakuan yang terhad dan berulang bagaikan berada di dunia mereka sendiri membuatkan kanak-kanak autisme tidak dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.
Simptom autisme selalunya dapat dikesan seawal usia tiga tahun apabila ibu bapa dapat merasai kelainan pada anak mereka yang sukar memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara.
Tidak suka bersosial, bercakap dalam nada yang pelik, tidak boleh duduk diam dan tidak mahu bertentang mata merupakan antara simptom masalah ini.
Dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak Malaysia menghadapinya dan statistik menunjukkan kira-kira 47,000 penduduk negara ini mengalami masalah autisme.
Daripada jumlah tersebut, empat atau lima orang bagi setiap 10,000 pesakit mengalami autisme tulen yang menyebabkan mereka kehilangan keupayaan memahami keadaan sekeliling kecuali diri sendiri.
Sehubungan itu, kanak-kanak autisme ini perlu dibantu dalam menjalani kehidupan yang lebih baik seperti manusia normal yang lain.
Sebagai tanda sokongan terhadapi usaha itu, pusat beli-belah terkenal, Suria KLCC buat tahun ke tiga berturut-turut melancarkan Kempen Hari Ungu (Purple Day).
Kempen yang dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme dilancarkan baru-baru ini oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia, Toh Puan Dr. Safurah Jaafar.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien, berkata, kempen tersebut juga bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).
"Tahun lalu kami berjaya mengumpul lebih RM150,000 dan tahun ini sasaran kami ialah RM200,000 bagi membantu lebih ramai lagi individu autisme dan keluarga mereka.
"Kami amat teruja dan menyeru semua rakyat Malaysia menyertai kempen ini bagi membantu kanak-kanak autisme ini," kata
Sepanjang kempen berlangsung dari 20 sehingga 30 September lalu pelbagai aktiviti telah diadakan seperti jualan baju T hasil karya kanak-kanak autisme, beg tote hiasan telefon bimbit, cawan dan patung edisi terhad.
Selain itu, terdapat beberapa kedai dan restoran terpilih di dalam pusat membeli-belah Suria KLCC turut menyokong kempen Hari Unggu 2012 di mana dalam setiap pembelian di tempat tersebut sebahagiannya disumbangkan kepada Nasom.
Lebih membanggakan, kempen ini telah menerima anugerah emas dari International Council of Shopping Centres (ICSC) di World Retail Real Estate Summit dalam ketagori pemasaran kemasyarakatan baru-baru ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121004/ke_02/Hari-Ungu-anak-autisme#ixzz28lN9zdtP
© Utusan Melayu (M) Bhd