Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Tidak mahu dimadu


PERKAHWINAN Safia (bukan nama sebenar), 28, bersama Kamarul (bukan nama sebenar) ,30, tidak mampu bertahan lama walaupun mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang comel.
Bukan mereka tidak menyayangi ikatan yang dibina sejak empat tahun lepas, namun hubungan tersebut tidak mampu diselamatkan kerana masing-masing tidak sehaluan lagi.
Walaupun perkahwinan yang dibina atas dasar perasaan cinta, tiada siapa dapat menolak takdir dan ketentuan dari Allah SWT.
Setelah hampir setahun berpisah dan menjadi ibu tunggal di usia muda, kini Safia bahagia menjalani kehidupan barunya bersama-sama dua orang putera yang dikasihi.
Semasa hidup bersama-sama Kamarul, mereka tinggal di Kuala Lumpur namun selepas bercerai, Safia telah pulang ke pangkuan keluarganya di utara tanah air.
Selepas itu, rezekinya bertambah apabila diterima bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah hotel terkemuka di sebuah negeri di utara.
Dengan rezeki itulah dia menyara kedua-dua anaknya.
Bercerita lanjut, Safia memberitahu, dia dan Kamarul berkenalan ketika mereka sama-sama bekerja di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Kamarul mengaku terpukau dengan Safia yang mempunyai wajah cantik dan berperwatakan lemah lembut.
Akui Safia, pada peringkat awal perkahwinan, semuanya indah dan bahagia. Ketika itu, perasaan sayang kepada suami semakin hari semakin bertambah.
"Saya mengenali suami sebagai seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Setelah setahun mengenali hati budi, kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
"Tambahan, ketika mengenali suami, saya baru berpisah dengan bekas kekasih yang dikenali ketika sama-sama belajar di universiti. Kehadiran suami menjadi pengubat luka ketika itu," katanya.
Katanya, dia menerima lamaran Kamarul kerana yakin dapat hidup bahagia selepas berkahwin walaupun lelaki itu mengetahui kisah silamnya dan berjanji menerima diri Safia seadanya.
"Perhubungan kami direstui oleh ibu bapa. Setelah berkahwin, kami telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
"Kehidupan kami bertambah bahagia dengan kelahiran anak lelaki. Tambahan hajat suami untuk mendapat anak sulung lelaki tercapai," katanya.
Tambah Safia, malangnya setelah dia melahirkan anak kedua, segalanya telah berubah. Suaminya mula berubah sikap daripada seorang yang penyayang kepada pendiam dan panas baran.
"Apabila saya melahirkan anak kedua, sedikit demi sedikit perangai suami telah berubah. Dahulunya dia seorang yang suka bergurau kemudian bertukar menjadi pendiam dan panas baran.
"Jika diajak berbincang tentang sesuatu perkara dia akan mula melenting. Cepat sahaja mulutnya memaki-hamun jika ada sahaja kesilapan yang dilakukan," katanya.
Ujarnya lagi, perubahan tersebut menyebabkan hubungan mereka berdua dingin. Kemesraan Kamarul dengan Safia dan anak-anak juga tidak lagi seperti dahulu.
"Segala sifat penyayang dan lemah lembut yang ditunjukkan pada keluarga selama ini hilang begitu saja. Jika ada perkara yang dia rasa tak puas hati, pasti saya menjadi mangsa herdiknya
"Apabila dia marah, bukan sahaja maki-hamun yang keluar dari mulutnya malah pernah beberapa kali dia memukul saya," katanya.
Ketika itu Safia bagai hilang punca mencari penyebab perubahan sikap Kamarul. Segalanya terjawab setelah dia terserempak sendiri dengan Kamarul bersama-sama seorang perempuan di sebuah pusat beli-belah ketika Safia hendak membeli sesuatu yang diperlukan anak-anaknya.
"Dari jauh saya melihat kemesraan mereka berdua. Tidak syak lagi hubungan mereka sangat rapat seperti pasangan kekasih yang hangat bercinta.
"Ketika itu, air mata mengalir laju di pipi. Perasaan dikhianati tidak dapat dibendung lagi. Semua perasaan curiga terjawab akhirnya," katanya.
Disebabkan tidak tahan menanggung perbuatan yang dilakukan oleh suaminya, Safia akhirnya bersuara dan memohon penjelasan dari Kamarul.
"Kamarul mengaku perempuan yang saya nampak itu adalah kekasihnya dahulu. Mereka telah kembali bersama dan merancang untuk bernikah.
"Kerana tidak sanggup dimadukan, akhirnya saya meminta Kamarul ceraikan saya dan membenarkan anak-anak berada dalam jagaan saya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121003/ke_02/Tidak-mahu-dimadu#ixzz28lNkEDcs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment