Penjenayah sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan mereka kerana itu setiap orang harus sentiasa berwaspada. - Gambar hiasan
PANIK dan ketakutan pasti dirasai oleh sesiapa sahaja semasa berdepan dengan perompak tetapi apakah yang wajar dilakukan pada saat-saat genting itu?
Pengalaman seorang pemuda ketika berhadapan dengan sekumpulan penjenayah baru-baru ini mungkin boleh dijadikan iktibar.
Beliau yang memandu sendirian di sebuah lebuh raya di Lembah Klang pada tengah malah dengan tiba-tiba dipintas dan dihalang laluannya oleh sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki.
Beliau bertambah panik apabila melihat kelima-lima lelaki itu menyerbu ke arahnya dengan seorang daripada mereka mengacukan sebilah pisau.
Tidak ada apa yang mampu dilakukannya selain akur dengan penjenayah itu dan merayu agar tidak dicederakan. Tidak sampai lima minit, selepas mendapat wang dan beberapa barang lain daripada keretanya, penjenayah itu terus berlalu.
Tindakan pemuda itu, yang tidak melawan dan mengikut apa yang diminta oleh penjenayah demi menyelamatkan nyawanya, adalah tindakan yang bijak menurut Master Saiful Hamiruzzaman, Perunding Keselamatan Peribadi dan Anggota Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Ketika berhadapan dengan suasana genting seperti itu, apa yang perlu dilakukan oleh mangsa bukan mempertahan wang atau harta yang dimiliki sebaliknya melepaskan diri dan menyelamatkan nyawa.
"Namun ramai yang tersilap langkah dan bertindak mempertahan wang dan harta tanpa mengukur kemampuan sendiri hingga akhirnya dicederakan atau dibunuh oleh penjenayah," katanya ketika berkongsi tip dan teknik menyelamatkan diri ketika berhadapan penjenayah dalam bengkel Pencegahan Jenayah anjuran Pusat Kecergasan, Celebrity Fitness di Wangsa Maju baru-baru ini.
Menangani panik
Walau sehebat mana ilmu pertahanan diri yang dimiliki seseorang itu, ketika berhadapan penjenayah kemahiran itu kadang kala gagal dipraktikkan dengan sempurna akibat perasaan takut dan panik.
Lagipun lawan mereka itu mungkin lebih hebat lagi. Perasaan panik dan takut adalah tindak balas lumrah pada manusia.
Namun menurut Saiful, kajian yang dilakukan menunjukkan dalam keadaan terdesak, manusia akan mempunyai lebih tenaga dan semangat untuk melawan.
"Ketika semangat dan tenaga untuk melawan itu tinggi, seseorang akan bertindak sama ada secara positif atau sebaliknya. Jika positif mungkin dia boleh menyelamatkan dirinya dan jika negatif ia boleh membawa padah," kata Saiful yang menerima gelaran Master daripada Majlis Pertahanan Diri Sedunia.
Saiful berkata, langkah paling mudah untuk mengatasi perasaan panik dan takut terutama berhadapan situasi mendesak adalah dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya melalui jeritan padu "huhh" seperti yang sering dilakukan dalam seni pertahanan diri.
Nampak mudah, namun jika tidak dibiasakan melalui latihan pernafasan dan jeritan yang betul, seseorang akan gagal untuk melakukannya ketika berhadapan situasi genting sebegitu.
"Kena buat latihan pernafasan dan menjerit. Harus selalu dipraktikkan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Anda mampu melepaskan perasaan takut, panik dan segala yang negatif dalam diri dan kembali lebih tenang serta bersemangat.
"Jeritan itu juga mungkin boleh membantu membuatkan penjenayah terkejut dan membolehkan anda melepaskan diri," katanya.
Namun, teknik ini tidak boleh dipraktikkan dalam semua situasi ketika berhadapan penjenayah. Ia harus mengikut keadaan dan persekitaran.
"Jika penjenayah mengacu senjata seperti pisau, senjata api atau sebagainya, anda tidak boleh menjerit kerana provokasi seumpama itu boleh menyebabkan penjenayah bertindak balas dengan mencederakan atau membunuh mangsa.
"Jadi pertimbangan akal dan pengetahuan risiko perlu sebelum bertindak," katanya.
Bertindak cepat
Jika sebelum ini anda berfikir jenayah tidak akan berlaku kepada anda dan hanya berlaku pada orang lain, anda pasti tersilap. Sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa sekiranya tidak ada kesedaran dan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan.
Penjenayah sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan mereka kerana itu setiap orang harus sentiasa berwaspada.
Tindakan pantas perlu diambil untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.
Saiful berkata kajian menunjukkan sekiranya seseorang itu gagal melepaskan diri apabila terancam dalam tempoh 30 saat, mereka berpotensi menjadi mangsa penjenayah. Kebiasaannya, pada lima saat pertama kejadian mangsa akan berada dalam keadaan keliru kerana terkejut atas apa yang berlaku.
"Jangan biarkan diri terus dalam keadaan itu, sebaliknya mula fikirkan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan diri.
"Dalam tempoh kurang 20 saat itu, cuba berkomunikasi dengan penjenayah akan apa yang diinginkannya. Jika mahukan duit, barang atau sebagainya berikan sahaja bagi mengelak diri dicederakan kerana matlamat akhirnya adalah untuk menyelamatkan diri," katanya.
Saiful juga merujuk kepada trend membimbangkan kebelakangan ini di mana penjenayah mencederakan mangsa terlebih dahulu sebelum melakukan samun atau sebagainya.
Sekiranya penjenayah bertindak agresif, individu boleh melakukan tindakan yang minimum seperti pijak kaki, tendang lutut, tampar muka atau menepuk kedua-dua belah telinga bagi membolehkannya melepaskan diri dan bukannya bertindak mempertahan diri.
"Jika berhadapan dengan ancaman seperti orang tidak siuman atau mabuk, cuba tepuk kedua-dua belah telinga mereka dengan tangan. Ia akan menyebabkan mereka hilang imbangan badan dan seterusnya akan membolehkan anda melepaskan diri," katanya menerangkan beberapa teknik mudah yang boleh digunakan. — BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121004/ke_04/Tangani-panik-ketika-bahaya#ixzz28lNTbZ00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment