Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Fiil isteri zaman sekarang


BUKAN niat saya menghina mahupun mencaci wanita khususnya para isteri, tetapi sekadar mahu mengingatkan tentang kewajipan mereka terhadap suami. Ini kerana rata-rata isteri zaman ini lalai tentang tanggungjawab mereka," kata Shahzan membuka bicara dalam e-melnya yang panjang lebar.
''Zaman ini sukar mencari perempuan yang benar-benar layak dijadikan isteri. Sekiranya kita bertanya kepada ustaz, isteri macam mana yang baik, pasti ustaz akan jawab: Dia mestilah wanita yang pandai hiburkan suaminya, taat, sentiasa senyum dan tidak pernah berkira dengan suami.
''Dalam memilih calon isteri, ramai lelaki mengelak anak perempuan bongsu. Perempuan kategori ini anak manja, tidak pandai berdikari dan lebih penting, ibubapanya pasti meletakkan hantaran tinggi sebab nak buat majlis kahwin dan sanding terbesar.
''Namun, tidak bermakna anak sulung baik. Biasanya mereka juga jadi kemanjaan ibu bapa juga datuk dan nenek. Kalau berkahwin pun mereka lupa tugas hakiki bukan lagi pada ibu bapa sebaliknya suami. Nasihat saya kalau sudah berkahwin, sebaik-baiknya jangan tinggal bersama mertua. Banyak buruknya.
"Ada juga kata carilah calon isteri dari kampung, konon lebih suci, hakikatnya ia tidak relevan lagi.
''Zaman ini bukan zaman mak bapa kita dulu. Zaman ini serba canggih. Mereka mudah berhubung walaupun ada di rumah. Meraka juga sudah pandai melepak di pusat beli-belah. Bukan macam zaman dulu, anak dara umumnya di dapur.
''Sebab itulah, trend lelaki kita zaman ini lebih suka berkahwin dengan warga asing kerana mereka dapat memenuhi 'selera' selain hantaran rendah, kesuciannya tidak diragui dan darjah ketaatannya tinggi.
''Tidak seperti anak dara kita ramai yang sudah kena 'test-drive', akhirnya siapa rugi? Kalau boleh pulangkan kalau rosak tak apalah, tapi masalahnya 'tiada jaminan wang dikembalikan!!'
''Zaman ini hantaran mengikut taraf pendidikan. Lulusan PMR RM3,000, SPM RM8,000, STPM/Diploma RM12,000, ijazah RM20,000 dan Ph.D RM30,000. Bagi yang mampu, hantaran bukanlah isu, lagipun banyak bank boleh buat pinjaman. Soalnya, berbaloikah pelaburan yang dibuat itu? Dapatkah si isteri beri khidmat setimpal dengan nilai hantaran itu?
''Ada ibu bapa minta hantaran beribu ringgit, tapi makan minum suami terabai. Saya nak nasihatkan wanita kalau terasa susah sangat nak jaga makan minum suami, baik jangan kahwin, duduk saja bawah ketiak mak bapa. Zaman ini nak cari isteri yang hormatkan suami memang sukar. Lagi payah apabila mak bapa merestui perbuatan anaknya.
Sensitif''Dalam sebuah hadis nabi bersabda: "Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya" (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban).
''Kebanyakan suami kini sensitif dengan kerenah isteri sebab ada yang ''terlebih pandai'' mendakwa ''walaupun isteri hak suami, tapi haram suami mengadakan hubungan kelamin jika tidak mendapat keredaan isteri kerana golongan hawa dilahirkan bukan sekadar menjadi tempat untuk suami memuaskan nafsu sahaja''.
''Sebenarnya, tiada haram kepada suami menunaikan hajat ke atas isterinya. Malah menjadi kewajipan si isteri menunaikan 'permintaan' suami. Perkara ini wajib dilaksanakan selagi tidak terikat dengan puasa Ramadan, ihram haji, datang haid atau nifas atau suami itu meminta meliwatnya atau dia sakit yang tidak mampu berjimak.
''Lebih memeningkan kepala suami, perangai isteri ketika di pejabat bukan main riang gembira, bertepuk tampar dengan lelaki lain tapi bila balik ke rumah, langsung tidak mahu melayan suami. Malah berbedak berhias pun dia malas hinggakan bau badan masam dan hapak, langsung hilang selera.
''Kita sering mendengar ayat ''perempuan insan yang lemah". Bagi saya, ayat itu sudah tidak sesuai lagi, kerana ramai isteri kini suka melawan suami. Apa suami cakap, semuanya dia lawan balik. Mereka langsung tidak kisah bahawa mentaati suami itu wajib.
''Wahai isteri, sedarlah bahawa dalam neraka nanti hukuman isteri yang melawan suami, dia sendiri yang akan menggunting lidahnya.
''Perempuan zaman ini sangat hebat dalam menipu. Kalau ada kes Mahkamah Syariah, di depan hakim, pandai pula mereka menangis melalak. Hakikatnya, diri sendiri yang tidak tahu menjaga hati suami.
''Sesetengah wanita menangis melalak di depan hakim, seolah-olah suaminya langsung tidak menunaikan tanggungjawab. Nasihat saya, sebelum salahkan suami, tanya diri anda sendiri dahulu, adakah anda benar-benar menunaikan tanggungjawab anda? Terus terang saya katakan, seorang lelaki itu, kalaulah dia benar-benar berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh isterinya, mustahil si suami akan mencari yang lain.
''Nasihat saya kepada lelaki di luar sana, zaman ini kalau hendak berkahwin memang senang, tetapi bukan mudah mencari perempuan yang sanggup hidup susah senang bersama kita. Apa lagi hendak membantu suami.
''Lebih aneh zaman ini, ramai isteri yang taat pada perintah Allah, rajin solat, puasa, dengar ceramah agama, mengaji dan sebagainya. Malangnya, makan minum suami sering mereka abaikan sebab sibuk mencari pahala untuk diri sendiri.
''Sepatutnya, ibadat itu hendaklah disertakan dengan ketaatan kepada suami. Akhirnya, si isteri akan dapat masuk syurga melalui mana-mana pintu yang dia suka. Bab menjaga makan minum suami, amat besar pahalanya kepada seorang wanita yang bergelar isteri.
''Akhir kalam, suka saya mengingatkan tentang nusyuz. Nusyuz ertinya isteri enggan mentaati perintah atau permintaan suami sebagai contoh; 1. Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suami. 2. Meninggalkan rumah tanpa kerelaan atau izin suami. 3. Enggan berpindah ke rumah yang disediakan suaminya, tanpa sebab yang sah mengikut hukum syarak,'' ujar Shahzan panjang lebar tentang perangai kebanyakan isteri zaman ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120930/ke_03/Fiil-isteri-zaman-sekarang#ixzz28lOdnq78
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tarian dunia baru Nas



Nas bersama anak muridnya di D’apple Studio Dance & Slimming Center yang kini beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor.
MENGGERAKKAN badan mengikut alunan irama lagu memang mengasyikkan. Sejurus muzik dimainkan, keseluruhan bahagian badan seperti dibuai keasyikan bergerak. Walaupun berpeluh, penari-penari ini seperti puas. Ia bukan sekadar gerak tari biasa tetapi juga berfungsi sebagai senaman untuk menjaga kesihatan tubuh dan menurunkan berat badan.
Bagi penyanyi dan pelakon, Nas Adila Mohd. Dan, 26, menari secara umumnya merupakan satu cara untuk membantu mengurangkan tekanan, memperbaiki kekuatan diri dan meningkatkan tenaga dan kekuatan otot-otot badan.
“Dari kecil lagi, saya dan adik-beradik yang lain sudah terbiasa bersenam atau beriadah jika tiada tugasan yang lebih memerlukan perhatian. Walaupun sibuk dengan jadual kegiatan seni, saya tetap akan pastikan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu diperuntukkan untuk aktiviti fizikal seperti senaman," katanya yang mesra disapa Nas.
Justeru, Nas kini mengorak langkah baru dengan membuka studio tarian miliknya sendiri, D’apple Studio Dance & Slimming Center yang beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor.
“Saya memang suka menari dan ibu saya sendiri, Rashidah Hamid ialah bekas penari Yayasan Warisan Johor.
Pada tahun lalu, saya mengikuti kelas tarian di bawah bimbingan Linda Jasmine selama enam bulan dengan memberi fokus tarian rancak seperti pop.
“Dari situ, saya semakin jatuh hati pada tarian," katanya yang dilantik sebagai duta D’Apple Fiber iaitu produk di bawah rangkaian jenama Dya D’Masha.
Tambah Nas, studio itu menjadi tempat untuknya menghabiskan masa sekiranya tiada undangan menyanyi atau persembahan.
Bicaranya lagi, studio tarian ini akan menawarkan beberapa jenis kelas tarian termasuk tradisional, poco-poco, pop dan salsa yang dikendalikan olehnya sendiri dan penari profesional lain.
Menurut Nas, pendaftaran untuk dewasa cuma RM150 dan RM69 untuk kanak-kanak. Bayaran yuran setiap bulan cuma RM100 untuk dewasa dan RM40 (kanak-kanak) untuk lapan sesi.
Konsep studio
Ditanya tentang konsep hijau dan epal yang menjadi tema utama studio tarian ini, Nas menjelaskan, konsep ini terhasil daripada pengalamannya mengambil makanan tambahan dan suplemen D’Apple Fiber.
Warna hijau dan simbol epal yang digunakan sebagai latar dinding sangat harmoni dan memberi idea kepada Nas untuk melakukan tarian dan makan suplemen untuk sihat.
“Mula-mula terfikir juga konsep yang bagaimana saya nak buat untuk studio ini. Kemudian saya terfikir, untuk memiliki badan yang cantik dan sihat kita juga memerlukan senaman seperti menari. Jadi, D’Apple Fiber saya satukan dengan studio tarian menjadi D’Apple Studio.
“Saya juga menjual sendiri produk tersebut. Saya tidak sangka sambutan yang saya terima amat baik dan hasilnya termasuk pendapatan kerja seni, saya jadikan modal membuka studio ini," katanya yang melaburkan RM100,000 untuk membuat pengubahsuaian studio ini.
Ceritanya lanjut, ramai wanita kurang mengambil berat aspek pemakanan dan bersenam dalam hal menurunkan berat badan.
Dalam konteks ini, wanita perlu faham, untuk memperoleh berat badan ideal mereka harus melakukan senaman dan tidak berharap dengan produk atau suplemen.
“Jadi dengan adanya studio ini dapat mengajak pelanggan D’Apple Fiber dan orang ramai menjalani kehidupan sihat dengan cara yang santai iaitu menari. Selain itu, dengan pelbagai lagu, nyanyian dan tarian, kita dapat memupuk keyakinan diri, menghakis perasaan malu dan memberikan kebaikan pada otak," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120930/ke_02/Tarian-dunia-baru-Nas#ixzz28lORJf2b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Leyla obses aktiviti lasak


SEKALI pandang, mata pasti akan terus terlekat kepadanya. Leyla yang ditemui sewaktu sesi fotografi Citra Wanita, Mingguan Malaysia baru-baru ini sangat mesra berkata-kata.
Menurutnya, dia sudah melibatkan diri sebagai model separuh masa sejak enam tahun lalu. Semuanya berlaku apabila Leyla dibawa oleh ibunya ke sesi uji bakat pencarian model sebuah agensi peragawati.
Di sebalik penglibatannya dalam bidang yang dianggap glamor itu, wanita berusia 24 tahun ini sebenarnya mempunyai kerjaya tetap sebagai kakitangan awam.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nurlela Bakar menolak sama sekali tanggapan bahawa menceburi bidang peragaan sekadar mahu mengejar glamor.
Sebaliknya, wanita cantik ini mengakui segala-galanya didorong oleh minat serta keinginan untuk mendalami bidang peragaan yang dirasakan penuh cabaran.
Leyla telah membuktikan wanita bijak merancang masa depan.
Realitinya , dia masih mampu memberikan komitmen dalam kerjayanya.
Dia membuktikan kesibukannya memenuhi undangan sebagai model tidak pernah membataskannya berjaya dalam kerjaya.
Ternyata Leyla tidak pernah mengecewakan majikannya, bahkan dalam bidang peragaan dia boleh memberi kerjasama yang baik dengan jurugambar.
Gayanya sederhana , berbeza dan bersahaja.
BerfesyenDalam berfesyen, Leyla gemar mengenakan pakaian ringkas dan mengikut kesesuaian keadaan.
"Selalunya, orang ramai mengatakan wanita tidak dapat mencapai kejayaan dalam kerjaya lebih-lebih lagi mereka yang hanya kelihatan tahu bergaya sahaja. Ternyata pendapat tersebut salah, yang penting untuk berjaya, seseorang itu perlu berilmu," katanya yang minat melakukan aktiviti lasak dan menari.
Leyla tidak menafikan tugas di sebuah pejabat kerajaan agak membataskan masa untuk dia memenuhi undangan peragaan.
"Namun, saya akan cuba memenuhinya jika berkesempatan. Sebagai wanita, segalanya perlu seimbang termasuk menguruskan diri sendiri, menghabiskan masa bersama keluarga dan kawan-kawan pada masa terluang," ujarnya.
Bercerita tentang penjagaan diri, Leyla lebih gemar melakukan aktiviti fizikal seperti mendaki gunung, joging dan menari untuk mengekalkan tubuh badan yang langsing.
"Sejak di bangku sekolah, saya obses melakukan aktiviti lasak. Bagi saya, ia baik untuk stamina badan dan memberi kepuasan. Aktiviti ini rawatan stres yang baik," ujarnya.
Wanita yang lebih menyenangi solekan ringkas ini tidak pernah mengabaikan penjagaan wajah seperti menggunakan pembersih, pelembap, penyegar dan topeng wajah untuk kekal segar dan cantik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120930/ke_01/Leyla-obses-aktiviti-lasak#ixzz28lOHPw8W
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Mengenali suami sendiri


KERANA cinta anda telah berumahtangga dengan seseorang yang pada awalnya anda merasakan dialah yang paling sesuai menjadi pasangan dalam hidup.
Sedangkan sebenarnya, hanya selepas beberapa lama tempoh perkahwinan, barulah anda mengenali siapakah suami anda sebenarnya.
Artikel ini ditulis bukan untuk membuat anda rasa resah dan gelisah.
Ia sekadar memberi panduan kepada anda sebagai seorang isteri untuk mengenali siapakah suami anda sebenarnya dan mengapa anda perlu berusaha untuk mengubah sikap atau mendorongnya menjadi insan yang lebih baik.
Apa-apa pun, yang penting perlunya anda mengetahui sikap sebenar suami anda terlebih dahulu.
Sukar dipercayai
Suami anda sering bercakap tidak benar dan selalu menyembunyikan personaliti yang sebenarnya ketika keluar berjanji temu dengan anda. Selalunya perangai ini hanya dapat dikesan selepas beberapa bulan berkahwin. Jika perkara ini berlaku terhadap anda ternyata anda perlu lebih berhati-hati dan selalu bertanyakan kepada rakan-rakannya mengenai apa yang dilakukannya di belakang anda. Tetapi sekiranya rakan suami pun bersubahat dengan suami anda... usahalah cara lain.
Suka bertindak ikut rasa
Dia akan menghubungi anda sesuka hatinya bertanyakan sesuatu dan dilihat suka membuli anda dan tidak suka kata-katanya dibangkang. Suami seperti ini mungkin agak panas baran orangnya, anda sebagai isteri pasti tahu bagaimana untuk memujuk, mungkin dengan cara kelembutan yang anda miliki.
Teragak-agak membuat keputusan
Dia mengajak anda keluar kemudian selang beberapa jam kemudian dia bertukar fikiran pula. Jika anda berkahwin dengannya , pastikan keputusannya benar-benar 'sahih' sebelum melakukan apa-apa aktiviti. Sekiranya berlaku juga lagi... sabar sajalah.
Suka menonjol
Adalah benar pada masa sekarang sebahagian golongan lelaki suka menonjolkan diri dan menjadi insan yang berjaya. Selalunya lelaki seperti ini menawan, kacak dan senang dengan wanita. Namun lelaki seperti ini sebenarnya mudah dan mungkin akan jatuh cinta lagi dengan wanita lain kecuali anda pandai mengendalikan dirinya.
Mendominasi (menguasai)
Dia selalu menguasai segala tindakan dan minda anda sehingga baju anda pun dia yang memilihnya. Anda bakal merasakan hanya sekadar boneka. Lelaki ini juga mudah menggunakan penderaan mental dan fizikal ke atas isterinya.
Tidak mempunyai perasaan
Lelaki jenis ini akan 'mencuri' anda daripada keluarga dengan memisahkan anda daripada rakan-rakan sehingga mengganggu kehidupan biasa anda kerana dia tidak suka melihat anda bergaul dengan orang lain.
Tidak yakin pada diri sendiri
Seorang lelaki yang berharap segalanya pada anda dan segalanya tentang anda. Mula-mula anda akan rasa seronok tetapi lama-kelamaan semuanya menyakitkan hati.
Terlalu mengharapkan kesempurnaan
Dia cuba mengawal kesemua perkara yang anda lakukan dengan tepat untuk mendapatkan kesempurnaan sebagaimana yang dihajatinya. Kemudian, apabila ada masalah mendatang, anda pula dipersalahkan.
Manipulasi
Dia hanya mahu mengawal segalanya termasuk hobi anda sampailah ke perbualan dan segala tindakan yang dilakukan untuk faedah dirinya sahaja sehinggakan semua idea yang dikeluarkan, anda harus mempercayainya biarpun anda sangsi mengenainya
Misteri
Ini bergantung kepada usia dan kematangan. Sekiranya sampai ke tua pun hidup anda masih ditakuk itu, bermaksud lelaki ini tiada objektif yang jelas dalam dirinya dan menganggap kehidupannya adalah mudah termasuk dalam soal kewangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121002/ke_01/Mengenali-suami-sendiri#ixzz28lO8RQLV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Program usahawan


Program yang lebih dikenali sebagai Aura D'Or ini adalah Program Keusahawanan Rakan Niaga, gabungan kerjasama dua syarikat bumiputera iaitu D'or Rue Sdn. Bhd., dan Koperasi Jaringan Usahawan Selangor Berhad (Kojaring).
Bengkel keusahawanan jelajah seluruh negara itu bermula di Pulau Legenda Langkawi, Kedah (7 September), Ipoh, Perak (9 September), Cheras, Kuala Lumpur (10 September), Shah Alam, Selangor (15 September) dan Seremban, Negeri Sembilan (16 September).
Ceramah transformasi keusahawanan yang turut disampaikan Pengerusi Kojaring, Latif Kachong melalui Program Rakan Niaga itu menawarkan pembiayaan mudah dari RM5,000 hingga RM50,000 tanpa penjamin, cagaran atau penyata gaji manakala bayaran balik serendah RM121 sebulan.
Antara keistimewaan menyertai program ini adalah diskaun belian produk emas sadur, fesyen aksesori dan cenderahati korporat sehingga 50 peratus, emas tulen 24k sehingga 70 gram dan keahlian syer dan koperasi Kojaring.
Faedah lain pula termasuklah komisen jualan yang tinggi, insentif perkenal rakan niaga, overiding komisen jualan, perkhidmatan pembiayaan semula konsep tebus dan gadai serta tambah simpanan emas melalui konsep gandaan serta latihan dan bimbingan sehingga mempunyai kiosk dan butik sendiri.
Kepada yang berminat untuk menyertai Program Rakan Niaga ini bolehlah menghubungi mereka di www.dorruecraft.com (03-6184 1662) atau www.kojaring.com (03- 5880 2895)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121003/ke_03/Program-usahawan#ixzz28lNvVjZ3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tidak mahu dimadu


PERKAHWINAN Safia (bukan nama sebenar), 28, bersama Kamarul (bukan nama sebenar) ,30, tidak mampu bertahan lama walaupun mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang comel.
Bukan mereka tidak menyayangi ikatan yang dibina sejak empat tahun lepas, namun hubungan tersebut tidak mampu diselamatkan kerana masing-masing tidak sehaluan lagi.
Walaupun perkahwinan yang dibina atas dasar perasaan cinta, tiada siapa dapat menolak takdir dan ketentuan dari Allah SWT.
Setelah hampir setahun berpisah dan menjadi ibu tunggal di usia muda, kini Safia bahagia menjalani kehidupan barunya bersama-sama dua orang putera yang dikasihi.
Semasa hidup bersama-sama Kamarul, mereka tinggal di Kuala Lumpur namun selepas bercerai, Safia telah pulang ke pangkuan keluarganya di utara tanah air.
Selepas itu, rezekinya bertambah apabila diterima bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah hotel terkemuka di sebuah negeri di utara.
Dengan rezeki itulah dia menyara kedua-dua anaknya.
Bercerita lanjut, Safia memberitahu, dia dan Kamarul berkenalan ketika mereka sama-sama bekerja di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Kamarul mengaku terpukau dengan Safia yang mempunyai wajah cantik dan berperwatakan lemah lembut.
Akui Safia, pada peringkat awal perkahwinan, semuanya indah dan bahagia. Ketika itu, perasaan sayang kepada suami semakin hari semakin bertambah.
"Saya mengenali suami sebagai seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Setelah setahun mengenali hati budi, kami mengambil keputusan untuk berkahwin.
"Tambahan, ketika mengenali suami, saya baru berpisah dengan bekas kekasih yang dikenali ketika sama-sama belajar di universiti. Kehadiran suami menjadi pengubat luka ketika itu," katanya.
Katanya, dia menerima lamaran Kamarul kerana yakin dapat hidup bahagia selepas berkahwin walaupun lelaki itu mengetahui kisah silamnya dan berjanji menerima diri Safia seadanya.
"Perhubungan kami direstui oleh ibu bapa. Setelah berkahwin, kami telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
"Kehidupan kami bertambah bahagia dengan kelahiran anak lelaki. Tambahan hajat suami untuk mendapat anak sulung lelaki tercapai," katanya.
Tambah Safia, malangnya setelah dia melahirkan anak kedua, segalanya telah berubah. Suaminya mula berubah sikap daripada seorang yang penyayang kepada pendiam dan panas baran.
"Apabila saya melahirkan anak kedua, sedikit demi sedikit perangai suami telah berubah. Dahulunya dia seorang yang suka bergurau kemudian bertukar menjadi pendiam dan panas baran.
"Jika diajak berbincang tentang sesuatu perkara dia akan mula melenting. Cepat sahaja mulutnya memaki-hamun jika ada sahaja kesilapan yang dilakukan," katanya.
Ujarnya lagi, perubahan tersebut menyebabkan hubungan mereka berdua dingin. Kemesraan Kamarul dengan Safia dan anak-anak juga tidak lagi seperti dahulu.
"Segala sifat penyayang dan lemah lembut yang ditunjukkan pada keluarga selama ini hilang begitu saja. Jika ada perkara yang dia rasa tak puas hati, pasti saya menjadi mangsa herdiknya
"Apabila dia marah, bukan sahaja maki-hamun yang keluar dari mulutnya malah pernah beberapa kali dia memukul saya," katanya.
Ketika itu Safia bagai hilang punca mencari penyebab perubahan sikap Kamarul. Segalanya terjawab setelah dia terserempak sendiri dengan Kamarul bersama-sama seorang perempuan di sebuah pusat beli-belah ketika Safia hendak membeli sesuatu yang diperlukan anak-anaknya.
"Dari jauh saya melihat kemesraan mereka berdua. Tidak syak lagi hubungan mereka sangat rapat seperti pasangan kekasih yang hangat bercinta.
"Ketika itu, air mata mengalir laju di pipi. Perasaan dikhianati tidak dapat dibendung lagi. Semua perasaan curiga terjawab akhirnya," katanya.
Disebabkan tidak tahan menanggung perbuatan yang dilakukan oleh suaminya, Safia akhirnya bersuara dan memohon penjelasan dari Kamarul.
"Kamarul mengaku perempuan yang saya nampak itu adalah kekasihnya dahulu. Mereka telah kembali bersama dan merancang untuk bernikah.
"Kerana tidak sanggup dimadukan, akhirnya saya meminta Kamarul ceraikan saya dan membenarkan anak-anak berada dalam jagaan saya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121003/ke_02/Tidak-mahu-dimadu#ixzz28lNkEDcs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sonia cinta barangan antik



Demi kerana minat terhadap barangan antik Sonia sanggup mendalami pengetahuan mengenai barangan berkenaan.
KETIKA usianya 18 tahun, sisipan Mega pernah memaparkan kisah remaja ini yang begitu aktif menceburi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam usia semuda itu, tidak seperti kebanyakan remaja seusianya, Nor Ziehan Sonia Datuk Nik Mokhtar, mencabar diri dengan terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan sosial.
Kini selepas tujuh tahun berlalu, dengan status yang berbeza dan gelaran diraja yang dibawa iaitu Cik Puan Muda selepas bernikah dengan Tunku Aaran Muhamad, Nor Ziehan Sonia atau lebih mesra dengan panggilan Sonia masih lagi aktif dalam NGO di samping menguruskan perniagaan barunya, Beautiful Pottery Chateau.
"Sekarang saya masih terbabit dengan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) tetapi agak memperlahankan aktiviti berbanding tahun lepas kerana saya baru buka perniagaan sendiri.
"Ditambah pula saya kini berbadan dua, jadi memang tak sempat nak ikut aktiviti-aktiviti yang PEKA lakukan. Mungkin bila semua dah stabil saya akan aktif semula dalam aktiviti-aktiviti NGO kerana memang sudah menjadi minat saya sejak zaman remaja lagi," ujar Sonia yang ditemui di premis perniagaannya yang terletak di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menceritakan tentang rutin hariannya, Sonia kini memberikan tumpuan penuh kepada perniagaan yang baharu saja dimulakan kira-kira tiga bulan lalu.
"Biasanya saya akan berada di kedai dari pagi hingga petang. Sebelah malam pula saya habiskan masa bersama suami dan keluarga mertua.
"Hujung minggu kalau tidak ke kedai saya lebih suka duduk di rumah meluangkan masa bersama keluarga dan jarang keluar," katanya.
Selepas berumah tangga Sonia mengambil keputusan untuk tinggal bersama mertua untuk lebih mudah baginya menyesuaikan diri dengan mereka.
"Banyak yang saya pelajari daripada ibu mertua, Datin Paulene Mutamir dan rasa sangat bertuah kerana mempunyai keluarga yang memberi sokongan dalam apa jua yang saya la kukan," katanya.
Ibu Sonia, Datin Noor Sheena Maideen juga banyak membantunya dan selalu memberi bimbingan dan nasihat.
Sonia yang kini sedang mengandung empat bulan juga amat bersyukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan sebuah keluarga yang sangat baik dan hebat.
Berubah bidang
Sonia tidak menafikan setelah berkahwin, minatnya berubah ke arah bidang yang lebih bersifat kewanitaan.
"Sebelum berkahwin saya memang tidak gemar pinggan mangkuk atau barangan antik, tapi selepas berumahtangga semua itu berubah.
"Saya mula serius menceburi bidang perniagaan antik ini apabila makcik saya menjemput saya menjadi rakan kongsi dalam perniagaan hiasan dalaman beliau.
"Perniagaan ini sebenarnya telah bermula sejak empat tahun lalu apabila beliau dan anaknya iaitu sepupu saya, Noor Fariza Hani memulakan perniagaan mereka secara dalam talian.
"Apabila mereka mahu mengembangkan perniagaan dan membuka kedai, makcik menjemput saya menjadi rakan kongsi mereka. Dari situ bermulalah minat saya terhadap barangan yang kami bawa masuk dari Eropah.
"Antaranya termasuk pinggan mangkuk Inggeris, pelbagai perabot antik, perhiasan rumah dan sebagainya," tambahnya.
Memandangkan sepupu Sonia menetap di London, mereka akan berhubung melalui Skype pada setiap malam dan beliau akan menerangkan tentang barangan-barangan antik yang sudah dibeli di sana.
"Apabila barang-barang antik sampai, saya dan makcik akan membaik pulih barangan antik tersebut dengan menukar fabrik yang diimport dari United Kingdom (UK) dan menambah kusyen bagi menambah nilai estetika pada perabot antik tersebut.
"Dari situ saya mempelajari kayu apa yang digunakan dan berapa ratus tahun usia barangan antik tersebut.
"Apabila ada waktu lapang saya akan isikan dengan membaca tentang barangan-barangan antik dan melayari laman web tentang barangan antik serta cara-cara membaik pulih barangan antik," katanya.
Jelasnya, setiap barangan antik ada ciri yang unik walaupun usia barangan antik itu boleh mencecah 200 tahun tapi kualiti yang ada pada barangan antik ini sangat berbeza dari zaman sekarang.
Dari situ katanya, kita dapat lihat betapa telitinya kerja tangan orang dulu-dulu.
Tambah Sonia, Beautiful Pottery Chateau juga menjual pinggan mangkuk seperti Royal Albert yang rekaannya tidak lagi boleh didapati di pasaran.
"Bagi mereka yang meminati pinggan mangkuk Bone China mereka akan menghargai rekaan dan kehalusan corak-corak yang ada pada pinggan mangkuk tersebut.
"Selain barangan lama kami juga menjual barang baru seperti kertas dinding, sarung kusyen, alas meja dan sebagainya yang kesemuanya di import dari Perancis.
"Selain dari itu kami juga mempunyai candelier kristal Bohemian dari Eropah Timur," katanya yang bermatlamat ingin terus berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi biarpun sekarang sibuk dengan aktiviti perniagaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121003/ke_01/Sonia-cinta-barangan-antik#ixzz28lNc9eGv
© Utusan Melayu (M) Bhd