Pages

Translate

Thursday, October 18, 2012

Bantu anak kelaparan


Kakitangan 101 Hair Care menyertai sokongan terhadap program penajaan 101 kanak-kanak melarat .
TidaK semua syarikat berbangga dan melaung-laungkan usaha murni yang mereka buat terutama apabila melibatkan derma dan sumbangan.
Ada yang mengambil pendekatan melakukan kebajikan secara tertutup seperti yang dilakukan oleh 101 Hair Care.
Syarikat penjagaan rambut terkemuka itu sebenarnya telah mengumpul dana sejak tahun 1997 lagi demi membantu 101 kanak-kanak yang hidup melarat di seluruh dunia.
Kanak-kanak tersebut dipilih menerusi program tahunan Penajaan Kanak-Kanak World Vision Antarabangsa.
Sejak 15 tahun lalu syarikat tersebut telah mengumpul sebanyak RM211,800 dan untuk tahun ini sahaja mereka menyerahkan sejumlah RM60,000 kepada program tersebut menerusi penjualan set penjagaan rambut untuk tujuan amal.
Hanya pada tahun ini saja baru mereka mengambil keputusan menghebahkan kerana mahukan penglibatan lebih ramai orang dalam program amal itu.
Pengarah Eksekutif 101 Hair Care, Ricky Thye berkata, untuk tahun ini 101 Hair Care sekali lagi menaja 101 kanak-kanak dari Kemboja, China, India, Indonesia, Lebanon, Myanmar, Thailand dan Vietnam di bawah Program Penajaan Kanak-Kanak World Vision Antarabangsa.
"Kami bukan saja membantu kanak-kanak ini malah kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja di kalangan rakyat Malaysia yang ingin melawat, mengenali, dan beramah mesra dengan kanak-kanak tersebut menerusi pakej amal kami.
"Sesiapa yang membeli mana-mana pakej amal 101 Hair Care mendapat peluang eksklusif untuk memohon menyertai 'Program Pembangunan Kawasan' World Vision di mana mereka hanya dikenakan bayaran minimum untuk pakej lawatan," jelasnya.
Program Pembangunan Kawasan berkonsepkan amal itu akan menganjurkan dua lawatan untuk 24 peserta ke dua negara iaitu Thailand dan Vietnam yang menempatkan 29 kanak-kanak tajaan.
"Hanya siapa cepat yang akan dapat mengikuti program ini. Seramai 12 orang bertuah boleh melawat Thailand untuk bertemu dan beramah mesra dengan sembilan kanak-kanak tajaan. Pakej lawatan ini serendah RM2,700 untuk lima hari empat malam termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan
"Manakala 12 orang lagi berpeluang melawat Vietnam untuk bertemu dengan 20 kanak-kanak tajaan. Pakej lawatan ini pula serendah RM2,600 untuk lima hari empat malam termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif World Vision Malaysia, Liew Tong Ngan, berkata, kelaparan adalah satu daripada ribuan isu global yang menghimpit dunia hari ini.
"Lebih 925 juta orang kelaparan di seluruh dunia manakala hampir lima juta kanak-kanak bawah umur lima tahun mati setiap hari disebabkan kekurangan zat makanan, kebuluran dan penyakit yang boleh dicegah.
" Banyak yang perlu dilakukan dan kami menghargai sokongan 101 Hair Care dalam usaha menangani isu penting ini," ujarnya.
Menurut hasil kajian Facing the Future, Think Quest and Hunger Relief Organizations, pada Mac 2012 angka kebuluran dunia memang mencapai ke tahap membimbangkan.
Laporan tersebut menyatakan pada tahun ini sahaja seramai 2,073,588 penduduk dunia akan mati akibat kelaparan.
Memandangkan bilangan penduduk dunia yang kelaparan semakin meningkat, syarikat penjagaan rambut itu telah memberikan komitmen untuk menyokong kempen 30-Hour Famine sebagai langkah susulan bagi menyokong transformasi kekal dalam kehidupan kanak-kanak dan komuniti mereka.
Bagi menyelami sendiri keadaan yang dialami orang mereka yang ditimpa bencana, baru-baru ini 101 Hair Care telah menganjurkan kem DIY.
Ia disertai oleh lebih 50 kakitangan dengan matlamat berganding bahu dalam perjuangan menangani isu kelaparan global.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121018/ke_02/Bantu-anak-kelaparan#ixzz29hyXY9pS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, October 8, 2012

Selesa tanpa protokol


Chef Emmanuel Stroobant yang lebih terkenal dengan gelaran Chef In Black.
KATANYA lagi, setiap individu mempunyai kegemaran serta cara masing-masing dan apa yang ditampilkan ketika berada di dapur menunjukkan itulah dirinya yang sebenar.
Disebabkan itu juga dapat dilihat peralatan dapur seperti pisau mahupun periuk belanga yang digunakan adalah minimum.
Menurutnya, dia tidak memerlukan perkakasan yang begitu banyak, memadai apa yang hendak digunakan ketika memasak.
Jelas sekali apa yang dikatakan benar kerana ketika ditemui di Petaling Jaya sempena siri lawatannya ke Malaysia, baru-baru ini, dia yang lebih terkenal dengan gelaran Chef In Black, hanya mempunyai sebilah pisau untuk semua kerja.
Begitupun, kerja yang dilakukannya amat pantas, cekap dan lancar tanpa sebarang gangguan mahupun kekurangan peralatan.
"Saya sukakan sesuatu yang sederhana. Ini termasuklah hidangan yang dimasak.
"Walaupun hidangan tersebut merupakan masakan yang sederhana, tetapi ia perlu dimasak dengan penuh keikhlasan agar mereka yang memakannya dapat merasai kenikmatan hidangan tersebut.
"Pada masa yang sama jadikan masakan satu perkara yang menyeronokkan agar anda dapat menghasilkan sesuatu yang begitu enak untuk dinikmati," ujar Stroobant.
Beliau yang gemar memasak sambil diiringi alunan muzik memberitahu tabiat tersebut tidak dapat 'dipisahkan' kerana ia memberi satu rangsangan dan inspirasi ketika berada di dapur.
Berbicara lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang masakan, jelas Chef Stroobant, kerjayanya bermula ketika dia berumur 16 tahun sebagai pencuci pinggan.
Dua tahun selepas itu dia mula mengorak langkah apabila mendaftarkan diri di sebuah institut hospitaliti dalam bidang masakan.
Tanpa menoleh kebelakang dan melakukan apa yang diminati dengan begitu tekun akhirnya di usia 23 tahun, dia berjaya membuka restoran pertama di negara kelahirannya.
Bermula daripada situlah kerjanya sebagai tukang masak mula berkembang. Siapa sangka di usia 44 tahun hari ini dia telah mempunyai enam buah restoran di Singapura selain dikenali sebagai chef selebriti.
Dia memberitahu, kesemua ahli keluarganya memang meminati bidang masakan. Malah bapanya ada membuka sebuah kafe di Belgium.
Katanya, walaupun bapanya bukanlah seorang chef tetapi disebabkan begitu komited dalam bidang masakan sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya.
"Jika dilihat daripada sejarah keluarga sebenarnya tiada seorang pun yang bergelar chef. Tetapi ayah dan ahli keluarga yang lain sememangnya meminati bidang masakan. Secara tidak langsung tempias itu turut terkena kepada saya.
"Walaupun ayah bukan seorang chef tetapi dai ada membuka sebuah kafe di Belgium dan kami sekeluarga akan berkumpul di situ sekiranya ada masa terluang untuk menikmati hidangan bersama-sama.
"Disebabkan itu jugalah saya melibatkan diri secara langsung di dalam bidang masakan ini dan seterusnya menjadikan ini sebagai kerjaya tetap," tambah Stroobant.
Beliau yang gemarkan sesuatu yang klasik turut berkongsi beberapa tip untuk menghasilkan hidangan yang sihat dan berkhasiat iaitu elakkan menggunakan gula putih sebaliknya guna gula perang.
Selain itu, Chef Stroobant turut menyarankan agar minyak ditukar dengan mentega supaya masakan lebih enak dan beraroma.
Beliau yang dilihat kurus dan tegap tidak ketinggalan mendedahkan makanan akan dihadam dengan betul sekiranya menikmati hidangan dengan cara yang betul.
Cara tersebut juga mampu menjadikan kita kenyang walaupun ia dijamah dalam kuantiti yang sedikit.
Tergolong dalam kelompok chef selebriti, Chef Stroobant tidak ketinggalan bercerita mengenai programnya yang mula bersiaran 12 September lalu.
Menampilan tema 36 Cara Untuk Hidup, bakal ditayangkan di saluran Asian Food Channel.
Katanya, siri kali ini berlainan sedikit daripada siri-siri sebelum ini kerana ia menampilkan masakan kegemarannya yang sering dinikmatinya ketika kecil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120928/ke_01/Selesa-tanpa-protokol#ixzz28lPbAsH1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kembara amal Pink Ribbon



Para sukarelawan Red Ribbon tidak ketinggalan bergambar bersama peserta konvoi.
GELARAN bikers sememangnya cukup sinonim dengan mereka yang gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Sudah menjadi kebiasaan buat si bikers untuk menunggang secara berkumpulan terutamanya pada hari minggu.
Ramai yang beranggapan tunggangan secara konvoi itu hanya sekadar untuk mengisi masa terluang.
Namun hakikat itu sudah berubah kerana budaya konvoi kini kebanyakannya turut diselitkan dengan aktiviti amal.
Baru-baru ini, penulis berpeluang mengikuti konvoi amal, Pink Ribbon Wellness Foundation Charity Ride 2012 yang berlangsung pada 15 September lalu.
Konvoi tersebut yang diadakan buat julung kalinya bermula dari Singapura dan ia berjaya menghimpunkan hampir 30 buah motosikal pelbagai jenis.
Dari Kota Singa, mereka bergerak menuju ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan 50 penunggang tempatan sebelum bergerak ke Ipoh, Perak Darul Ridzuan.
Selepas berkumpul di AnCasa Hotel & Spa, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur, kesemua peserta mengharungi pengembaraan sambil mata menikmati keindahan alam semula jadi yang terdapat di sepanjang jalan.
Istimewanya konvoi sejauh 560 kilometer ini adalah setiap peserta berpeluang melancong dan menguji kemampuan motosikal masing-masing sambil menyempurnakan misi bantuan yang dihulurkan kepada mereka yang memerlukan.
Setelah satu jam setengah masa berlalu, akhirnya kesemua peserta selamat tiba di Ipoh Parade bagi mengikuti acara menarik yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
Penaung Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia, Puan Seri Maniseh Adam berkata, mungkin ramai yang melihat program ini sekadar suka-suka tetapi sebaliknya ia menyampaikan suara menerusi kempen menghargai kehidupan istimewa pesakit kanser payu dara.
“Sehingga kini, kanser payu dara masih kekal sebagai penyakit utama dan lebih membimbangkan, ia turut menjadi pembunuh utama di kalangan kaum wanita.
“Di Malaysia, kajian turut membuktikan, kira-kira satu daripada 20 wanita berisiko mendapat kanser berkenaan.
“Oleh itu, menjadi cabaran buat Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia untuk membantu pesakit dari segi menawarkan harapan yang realistik," katanya.
Jelasnya lagi, kehadiran pelbagai kelab motosikal tempatan dan luar negara yang menyertai konvoi amal itu membuktikan bahawa golongan bikers turut tidak ketinggalan menghulurkan bantuan dengan menjadi ahli sukarelawan dan melakukan kerja-kerja amal sama ada melalui sumbangan berupa masa, tenaga, wang ringgit ataupun barangan.
“Kami percaya bahawa maklumat yang tersedia perlu dikongsi bersama agar ia boleh digunakan untuk membantu golongan wanita dari segi mengawal dan membasmi kanser payu dara sejajar dengan wawasan dan misi kami.
“Dengan dana yang dikumpulkan, Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia bakal membantu wanita yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi agar mereka tidak dibebani kos rawatan di samping menyokong mereka untuk terus berusaha melawan kanser tersebut," ujarnya.
Selain aktiviti konvoi, acara Pink Ribbon Wellness Foundation Charity Ride 2012 turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, bengkel penerangan dan tip penjagaan kesihatan yang disampaikan oleh Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia, Dr. M. Devanand.
Dr. M. Devanand berkata, kebanyakan wanita takut dengan kanser payu dara dan ada yang memperkecilkan risiko penyakit itu.
Oleh itu, kaum wanita perlu diberi bimbingan tanpa berasa malu untuk berbincang secara terbuka.
“Kemajuan teknologi sains molekul dan genetik yang dikecapi hari ini bakal mencipta strategi-strategi baru di samping memberi harapan kepada mereka.
“Mungkin agak sukar untuk yayasan ini mencapai matlamat tetapi dengan kerjasama semua pihak, kita pasti berjaya membasmi kanser payu dara pada Januari 2020," katanya.
Syabas dan tabik dari .com kepada mereka yang menjayakan program ini.
- SYAHRIL (Yang mengikuti lawatan ke Ipoh, Perak, tajaan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd.)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120929/ke_02/Kembara-amal-Pink-Ribbon#ixzz28lP2kGAd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peneman ketika suka dan duka


AIWAN peliharaan sememangnya tidak asing di kalangan remaja hari ini. Di samping dapat menemani ketika sunyi, haiwan tersebut juga menceriakan suasana dan amat menyeronokkan.
Kini, pelbagai jenis haiwan boleh dipelihara. Jika dahulu kucing, arnab dan burung menjadi pilihan, namun kini, remaja kian berani memelihara haiwan-haiwan baka luar negara dan eksotik.
Haiwan daripada spesies seperti ular, tupai, kala jengking, labah-labah, tikus, cicak dan pelbagai lagi haiwan lain kian popular menjadi peliharaan generasi hari ini.
Bagi kebanyakan remaja, haiwan-haiwan tersebut banyak mempengaruhi ciri-ciri si pemiliknya. Sebagai contoh, bagi mereka yang bersifat manja sudah pasti kucing menjadi pilihan hati.
Namun, banyak aspek perlu diambil kira sebelum seseorang itu ingin memelihara haiwan.
Pemakanan, tempat tinggal, masa, komitmen dan perancangan jangka panjang perlu bagi memastikan haiwan tersebut menjadi sebahagian daripada hidup pemiliknya.
Jadi, mari kita ikuti kisah pemilik dan haiwan kesayangan mereka serta tip-tip menarik untuk memelihara haiwan peliharaan ini. - AMIRUL/LYNN
DIAM tak diam, sudah tujuh ekor kucing parsi yang dibela Aizul Marcello Ad. Rahim, 25, semenjak dua tahun lalu.
Katanya, hilang segala penat dan letih setelah seharian bekerja apabila melihat keletah kucing-kucing Parsi yang gemar dimanja serta dibelai selain menghiburkan.
Dek kerana terlalu sayang pada haiwan tersebut, pemuda berasal dari Melaka itu mengakui, tidak lokek untuk membelanjakan kira-kira RM3,000 sehingga RM8,000 semata-mata untuk membeli seekor kucing.
“Kalau kucing Parsi tempatan, kos pembelian sekitar RM3,500 hingga RM4,000 seekor, bergantung kepada kualiti.
“Berbanding kucing Parsi import, harganya jauh lebih tinggi dan boleh mencecah sehingga RM8,000 seekor. Umur, kualiti serta kos penghantaran antara faktor yang boleh melonjakkan harga seekor kucing itu," katanya.
Biarpun terpaksa berbelanja tinggi, jelas Aizul, dia menggemari kucing import kerana baka dari luar negara lebih besar dan berkualiti.
Menurut pemilik Eyestudio Photography itu, ketujuh-tujuh ekor kucingnya itu adalah dari baka Persian asli dan mempunyai sijil berdaftar dari Cat Fancier‘s Association (CFA).
Menggunakan pangkal Xaara dan Xaarel bagi setiap kucing miliknya, pemuda itu mengakui terpaksa berbelanja besar setiap bulan demi memastikan haiwan peliharaannya itu membesar dengan sihat.
“Menjaga kucing Parsi ini agak leceh tetapi disebabkan sayang, semua perkara itu tidak menjadi masalah kepada saya.
“Seminggu sekali, kucing-kucing tersebut perlu dimandikan dan dipotongkan kuku.
“Selain menyikat bulunya setiap pagi, kucing-kucing tersebut akan diberikan minyak omega, vitamin tambahan serta susu kambing supaya ia sihat dan gebu," katanya.
BAGI sesetengah orang, ular merupakan haiwan yang sangat geli dan tidak ramai juga yang berani untuk mendekatinya, apatah lagi untuk dijadikan haiwan peliharaan.
Tidak bagi Muhammad Faidhi Zulkhali, 25, Persatuan 4P Hidupan Malaysia yang kini mempunyai tiga ekor ular yang sedang dipelihara iaitu daripada spesies Ball Phyton, Corn Snake dan Rat Snake.
Dia mula memelihara ular sejak empat tahun yang lalu dan merasakan ia adalah haiwan yang sangat pendiam dan bukan yang agresif.
Sebagai pemilik, Faidhi sentiasa meluangkan masa untuk bermain dengan ular-ularnya, kerana ular sebegini akan mengenali dan dapat membiasakan diri dengan pemilik.
“Ular tidak susah untuk dijaga, haiwan ini hanya makan sekali dalam sebulan, tidak seperti haiwan-haiwan peliharaan lain yang diberi makan secara tetap dan berterusan.
“Bagi pemilik ular, kena pastikan adakah spesies ular yang perlukan permit untuk memeliharanya, terdapat juga ular yang tidak perlukan permit, jadi kena bertanya dengan Jabatan Perhilitan di Daerah masing-masing," katanya.
Kos untuk memelihara ular tidak begitu besar. Makanannya seperti tikus saya bela sendiri dan kadang kala ia diberikan burung puyuh sebagai diet tambahan.
Selain ular, Faidhi turut memelihara beberapa haiwan lain termasuk, labah-labah, ferret, guinea pig dan kucing.
MUHAMMAD FAIDHI ZULKHALI, 25
MINAT terhadap haiwan kecil dan comel membuatkan Mas Syazwani Izyan,25 memelihara tupai chipmunk dan sugar glider.
Memerhati gelagat haiwan kecil ini bergerak seakan-akan menari membuatkan Mas seronok, sekaligus dapat menghiburkan hati ketika berasa sunyi.
Melihatkan haiwan yang biasanya susah didekati begitu jinak bermain bersama sudah pasti membuatkan sesiapa sahaja merasakan ia memerlukan latihan yang banyak.
Bagi Mas, masa yang diluangkan bersama haiwan peliharaan adalah penting dalam memastikan haiwan tersebut sentiasa mengenali pemilik dan memudahkan ia dijaga.
Kos untuk memelihara haiwan ini bukanlah besar jika benar-benar minat. Mas menghabiskan dalam RM50 untuk kedua-dua haiwannya itu bagi makanan, aksesori dan juga air.
Minat tersebut turut berkongsi dengan abangnya yang memelihara ular dan kucing.
Walaupun agak takut dan geli terhadap ular, dia terpaksa membiasakan dirinya berhadapan dengan haiwan itu kerana ia kini sebahagian dari keluarganya.
Haiwan peliharaan bukan hanya sebagai pendamping ketika sunyi tetapi ia akan bersama keluarga sepanjang hayatnya.
MAS SYAZWANI IZYAN,25
MINAT terhadap haiwan baka luar membuatkan dia sanggup memelihara lebih 10 ekor arnab jenis Hollond Loop di rumahnya.
Selain daripada arnab, dia juga memelihara guinea pig yang juga merupakan baka dari luar negara.
Arnab jenis ini mempunyai bulu yang panjang dan juga badan yang besar seakan kucing, jadi pelbagai aksesori boleh digayakan. Penjagaan terhadap haiwan ini juga tidak sukar.
Dalam sebulan dia menghabiskan RM200 bagi makanan, tidak termasuk perubatan dan lain-lain keperluan.
NORISYAM MOHD ARIS, 30
“SAYA suka memelihara haiwan yang agak eksotik dan lain daripada yang lain. Ketika ini, Beaded Dragon adalah jenis cicak yang menjadi pilihan saya.
“Bagi yang tidak mengetahui, ada yang mengatakan ia adalah iguana tetapi ia sebenarnya daripada spesies yang lain.
“Penjagaannya tidak rumit dan mudah, paling penting penjagaan dari segi kebersihan, makanan dan tempat tinggal adalah amat penting.
MOHD HIDHIR BASARUDIN, 30
“MEMELIHARA tikus belanda memberikan suatu kepuasan setelah penat bekerja seharian dengan melihat telatah haiwan ini.
“Tikus daripada jenis Shibaya menjadi pilihan kerana ia memiliki bulu yang panjang dan sangat cantik berbanding tikus belanda yang lain.
“Paling penting bagi memelihara haiwan ini adalah sangkar yang sesuai, mangkuk makanan yang bersih, minuman yang mencukupi dan juga masa yang diluangkan bersama.
HAMZAH ALIAS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120929/ke_01/Peneman-ketika-suka-dan-duka#ixzz28lOoQSKa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Fiil isteri zaman sekarang


BUKAN niat saya menghina mahupun mencaci wanita khususnya para isteri, tetapi sekadar mahu mengingatkan tentang kewajipan mereka terhadap suami. Ini kerana rata-rata isteri zaman ini lalai tentang tanggungjawab mereka," kata Shahzan membuka bicara dalam e-melnya yang panjang lebar.
''Zaman ini sukar mencari perempuan yang benar-benar layak dijadikan isteri. Sekiranya kita bertanya kepada ustaz, isteri macam mana yang baik, pasti ustaz akan jawab: Dia mestilah wanita yang pandai hiburkan suaminya, taat, sentiasa senyum dan tidak pernah berkira dengan suami.
''Dalam memilih calon isteri, ramai lelaki mengelak anak perempuan bongsu. Perempuan kategori ini anak manja, tidak pandai berdikari dan lebih penting, ibubapanya pasti meletakkan hantaran tinggi sebab nak buat majlis kahwin dan sanding terbesar.
''Namun, tidak bermakna anak sulung baik. Biasanya mereka juga jadi kemanjaan ibu bapa juga datuk dan nenek. Kalau berkahwin pun mereka lupa tugas hakiki bukan lagi pada ibu bapa sebaliknya suami. Nasihat saya kalau sudah berkahwin, sebaik-baiknya jangan tinggal bersama mertua. Banyak buruknya.
"Ada juga kata carilah calon isteri dari kampung, konon lebih suci, hakikatnya ia tidak relevan lagi.
''Zaman ini bukan zaman mak bapa kita dulu. Zaman ini serba canggih. Mereka mudah berhubung walaupun ada di rumah. Meraka juga sudah pandai melepak di pusat beli-belah. Bukan macam zaman dulu, anak dara umumnya di dapur.
''Sebab itulah, trend lelaki kita zaman ini lebih suka berkahwin dengan warga asing kerana mereka dapat memenuhi 'selera' selain hantaran rendah, kesuciannya tidak diragui dan darjah ketaatannya tinggi.
''Tidak seperti anak dara kita ramai yang sudah kena 'test-drive', akhirnya siapa rugi? Kalau boleh pulangkan kalau rosak tak apalah, tapi masalahnya 'tiada jaminan wang dikembalikan!!'
''Zaman ini hantaran mengikut taraf pendidikan. Lulusan PMR RM3,000, SPM RM8,000, STPM/Diploma RM12,000, ijazah RM20,000 dan Ph.D RM30,000. Bagi yang mampu, hantaran bukanlah isu, lagipun banyak bank boleh buat pinjaman. Soalnya, berbaloikah pelaburan yang dibuat itu? Dapatkah si isteri beri khidmat setimpal dengan nilai hantaran itu?
''Ada ibu bapa minta hantaran beribu ringgit, tapi makan minum suami terabai. Saya nak nasihatkan wanita kalau terasa susah sangat nak jaga makan minum suami, baik jangan kahwin, duduk saja bawah ketiak mak bapa. Zaman ini nak cari isteri yang hormatkan suami memang sukar. Lagi payah apabila mak bapa merestui perbuatan anaknya.
Sensitif''Dalam sebuah hadis nabi bersabda: "Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya" (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban).
''Kebanyakan suami kini sensitif dengan kerenah isteri sebab ada yang ''terlebih pandai'' mendakwa ''walaupun isteri hak suami, tapi haram suami mengadakan hubungan kelamin jika tidak mendapat keredaan isteri kerana golongan hawa dilahirkan bukan sekadar menjadi tempat untuk suami memuaskan nafsu sahaja''.
''Sebenarnya, tiada haram kepada suami menunaikan hajat ke atas isterinya. Malah menjadi kewajipan si isteri menunaikan 'permintaan' suami. Perkara ini wajib dilaksanakan selagi tidak terikat dengan puasa Ramadan, ihram haji, datang haid atau nifas atau suami itu meminta meliwatnya atau dia sakit yang tidak mampu berjimak.
''Lebih memeningkan kepala suami, perangai isteri ketika di pejabat bukan main riang gembira, bertepuk tampar dengan lelaki lain tapi bila balik ke rumah, langsung tidak mahu melayan suami. Malah berbedak berhias pun dia malas hinggakan bau badan masam dan hapak, langsung hilang selera.
''Kita sering mendengar ayat ''perempuan insan yang lemah". Bagi saya, ayat itu sudah tidak sesuai lagi, kerana ramai isteri kini suka melawan suami. Apa suami cakap, semuanya dia lawan balik. Mereka langsung tidak kisah bahawa mentaati suami itu wajib.
''Wahai isteri, sedarlah bahawa dalam neraka nanti hukuman isteri yang melawan suami, dia sendiri yang akan menggunting lidahnya.
''Perempuan zaman ini sangat hebat dalam menipu. Kalau ada kes Mahkamah Syariah, di depan hakim, pandai pula mereka menangis melalak. Hakikatnya, diri sendiri yang tidak tahu menjaga hati suami.
''Sesetengah wanita menangis melalak di depan hakim, seolah-olah suaminya langsung tidak menunaikan tanggungjawab. Nasihat saya, sebelum salahkan suami, tanya diri anda sendiri dahulu, adakah anda benar-benar menunaikan tanggungjawab anda? Terus terang saya katakan, seorang lelaki itu, kalaulah dia benar-benar berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh isterinya, mustahil si suami akan mencari yang lain.
''Nasihat saya kepada lelaki di luar sana, zaman ini kalau hendak berkahwin memang senang, tetapi bukan mudah mencari perempuan yang sanggup hidup susah senang bersama kita. Apa lagi hendak membantu suami.
''Lebih aneh zaman ini, ramai isteri yang taat pada perintah Allah, rajin solat, puasa, dengar ceramah agama, mengaji dan sebagainya. Malangnya, makan minum suami sering mereka abaikan sebab sibuk mencari pahala untuk diri sendiri.
''Sepatutnya, ibadat itu hendaklah disertakan dengan ketaatan kepada suami. Akhirnya, si isteri akan dapat masuk syurga melalui mana-mana pintu yang dia suka. Bab menjaga makan minum suami, amat besar pahalanya kepada seorang wanita yang bergelar isteri.
''Akhir kalam, suka saya mengingatkan tentang nusyuz. Nusyuz ertinya isteri enggan mentaati perintah atau permintaan suami sebagai contoh; 1. Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suami. 2. Meninggalkan rumah tanpa kerelaan atau izin suami. 3. Enggan berpindah ke rumah yang disediakan suaminya, tanpa sebab yang sah mengikut hukum syarak,'' ujar Shahzan panjang lebar tentang perangai kebanyakan isteri zaman ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120930/ke_03/Fiil-isteri-zaman-sekarang#ixzz28lOdnq78
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tarian dunia baru Nas



Nas bersama anak muridnya di D’apple Studio Dance & Slimming Center yang kini beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor.
MENGGERAKKAN badan mengikut alunan irama lagu memang mengasyikkan. Sejurus muzik dimainkan, keseluruhan bahagian badan seperti dibuai keasyikan bergerak. Walaupun berpeluh, penari-penari ini seperti puas. Ia bukan sekadar gerak tari biasa tetapi juga berfungsi sebagai senaman untuk menjaga kesihatan tubuh dan menurunkan berat badan.
Bagi penyanyi dan pelakon, Nas Adila Mohd. Dan, 26, menari secara umumnya merupakan satu cara untuk membantu mengurangkan tekanan, memperbaiki kekuatan diri dan meningkatkan tenaga dan kekuatan otot-otot badan.
“Dari kecil lagi, saya dan adik-beradik yang lain sudah terbiasa bersenam atau beriadah jika tiada tugasan yang lebih memerlukan perhatian. Walaupun sibuk dengan jadual kegiatan seni, saya tetap akan pastikan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu diperuntukkan untuk aktiviti fizikal seperti senaman," katanya yang mesra disapa Nas.
Justeru, Nas kini mengorak langkah baru dengan membuka studio tarian miliknya sendiri, D’apple Studio Dance & Slimming Center yang beroperasi di Jalan Samudra Utara 11, Taman Samudra, Batu Caves, Selangor.
“Saya memang suka menari dan ibu saya sendiri, Rashidah Hamid ialah bekas penari Yayasan Warisan Johor.
Pada tahun lalu, saya mengikuti kelas tarian di bawah bimbingan Linda Jasmine selama enam bulan dengan memberi fokus tarian rancak seperti pop.
“Dari situ, saya semakin jatuh hati pada tarian," katanya yang dilantik sebagai duta D’Apple Fiber iaitu produk di bawah rangkaian jenama Dya D’Masha.
Tambah Nas, studio itu menjadi tempat untuknya menghabiskan masa sekiranya tiada undangan menyanyi atau persembahan.
Bicaranya lagi, studio tarian ini akan menawarkan beberapa jenis kelas tarian termasuk tradisional, poco-poco, pop dan salsa yang dikendalikan olehnya sendiri dan penari profesional lain.
Menurut Nas, pendaftaran untuk dewasa cuma RM150 dan RM69 untuk kanak-kanak. Bayaran yuran setiap bulan cuma RM100 untuk dewasa dan RM40 (kanak-kanak) untuk lapan sesi.
Konsep studio
Ditanya tentang konsep hijau dan epal yang menjadi tema utama studio tarian ini, Nas menjelaskan, konsep ini terhasil daripada pengalamannya mengambil makanan tambahan dan suplemen D’Apple Fiber.
Warna hijau dan simbol epal yang digunakan sebagai latar dinding sangat harmoni dan memberi idea kepada Nas untuk melakukan tarian dan makan suplemen untuk sihat.
“Mula-mula terfikir juga konsep yang bagaimana saya nak buat untuk studio ini. Kemudian saya terfikir, untuk memiliki badan yang cantik dan sihat kita juga memerlukan senaman seperti menari. Jadi, D’Apple Fiber saya satukan dengan studio tarian menjadi D’Apple Studio.
“Saya juga menjual sendiri produk tersebut. Saya tidak sangka sambutan yang saya terima amat baik dan hasilnya termasuk pendapatan kerja seni, saya jadikan modal membuka studio ini," katanya yang melaburkan RM100,000 untuk membuat pengubahsuaian studio ini.
Ceritanya lanjut, ramai wanita kurang mengambil berat aspek pemakanan dan bersenam dalam hal menurunkan berat badan.
Dalam konteks ini, wanita perlu faham, untuk memperoleh berat badan ideal mereka harus melakukan senaman dan tidak berharap dengan produk atau suplemen.
“Jadi dengan adanya studio ini dapat mengajak pelanggan D’Apple Fiber dan orang ramai menjalani kehidupan sihat dengan cara yang santai iaitu menari. Selain itu, dengan pelbagai lagu, nyanyian dan tarian, kita dapat memupuk keyakinan diri, menghakis perasaan malu dan memberikan kebaikan pada otak," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120930/ke_02/Tarian-dunia-baru-Nas#ixzz28lORJf2b
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Leyla obses aktiviti lasak


SEKALI pandang, mata pasti akan terus terlekat kepadanya. Leyla yang ditemui sewaktu sesi fotografi Citra Wanita, Mingguan Malaysia baru-baru ini sangat mesra berkata-kata.
Menurutnya, dia sudah melibatkan diri sebagai model separuh masa sejak enam tahun lalu. Semuanya berlaku apabila Leyla dibawa oleh ibunya ke sesi uji bakat pencarian model sebuah agensi peragawati.
Di sebalik penglibatannya dalam bidang yang dianggap glamor itu, wanita berusia 24 tahun ini sebenarnya mempunyai kerjaya tetap sebagai kakitangan awam.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nurlela Bakar menolak sama sekali tanggapan bahawa menceburi bidang peragaan sekadar mahu mengejar glamor.
Sebaliknya, wanita cantik ini mengakui segala-galanya didorong oleh minat serta keinginan untuk mendalami bidang peragaan yang dirasakan penuh cabaran.
Leyla telah membuktikan wanita bijak merancang masa depan.
Realitinya , dia masih mampu memberikan komitmen dalam kerjayanya.
Dia membuktikan kesibukannya memenuhi undangan sebagai model tidak pernah membataskannya berjaya dalam kerjaya.
Ternyata Leyla tidak pernah mengecewakan majikannya, bahkan dalam bidang peragaan dia boleh memberi kerjasama yang baik dengan jurugambar.
Gayanya sederhana , berbeza dan bersahaja.
BerfesyenDalam berfesyen, Leyla gemar mengenakan pakaian ringkas dan mengikut kesesuaian keadaan.
"Selalunya, orang ramai mengatakan wanita tidak dapat mencapai kejayaan dalam kerjaya lebih-lebih lagi mereka yang hanya kelihatan tahu bergaya sahaja. Ternyata pendapat tersebut salah, yang penting untuk berjaya, seseorang itu perlu berilmu," katanya yang minat melakukan aktiviti lasak dan menari.
Leyla tidak menafikan tugas di sebuah pejabat kerajaan agak membataskan masa untuk dia memenuhi undangan peragaan.
"Namun, saya akan cuba memenuhinya jika berkesempatan. Sebagai wanita, segalanya perlu seimbang termasuk menguruskan diri sendiri, menghabiskan masa bersama keluarga dan kawan-kawan pada masa terluang," ujarnya.
Bercerita tentang penjagaan diri, Leyla lebih gemar melakukan aktiviti fizikal seperti mendaki gunung, joging dan menari untuk mengekalkan tubuh badan yang langsing.
"Sejak di bangku sekolah, saya obses melakukan aktiviti lasak. Bagi saya, ia baik untuk stamina badan dan memberi kepuasan. Aktiviti ini rawatan stres yang baik," ujarnya.
Wanita yang lebih menyenangi solekan ringkas ini tidak pernah mengabaikan penjagaan wajah seperti menggunakan pembersih, pelembap, penyegar dan topeng wajah untuk kekal segar dan cantik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120930/ke_01/Leyla-obses-aktiviti-lasak#ixzz28lOHPw8W
© Utusan Melayu (M) Bhd