Pages

Translate

Thursday, October 18, 2012

Goda suami ke bilik tidur


Lakukan sesuatu untuk memekarkan kembali keintiman bersama suami.
SETELAH sekian lama di alam perkahwinan mungkin anda merasakan tidak perlu lagi atau cuba mempraktikkan langkah-langkah untuk menggoda suami sendiri.
Mungkin juga anda telah hampir lupa bagaimana memainkan peranan sebagai si penggoda suami malah lupa pula langkah demi langkah yang diperlukan untuk menjayakan usaha itu.
Bayangkan betapa kecilnya hati apabila suami rela tertidur di luar bilik ketika sedang menonton televisyen ataupun rela melihat perlawanan bola sepak sampai ke pagi daripada tidur bersama anda.
Pernahkah anda mengalami situasi apabila meminta suami tidur bersama pelbagai alasan diberikan antaranya 'tidurlah dulu', 'abang belum mengantuk', atau 'panaslah di dalam itu', atau 'kejap lagi' sehingga sampai ke sudah suami tidak masuk ke bilik tidur.
Memanglah pada awalnya isteri akan merasakan kerja menggoda suami ini adalah sesuatu yang 'memalukan' atau takut dikatakan sebagai 'terhegeh-hegeh' berkehendakkan sesuatu.
Namun percayalah ia sesuatu yang baik untuk memekarkan kembali keintiman anda bersama suami di ranjang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121016/ke_01/Goda-suami-ke-bilik-tidur#ixzz29hzORWHu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ibu cantik, sihat


Para peserta peraduan Glowing Youthful Mother 2012 yang menyertai kem kecantikan sebagai persedian untuk pertandingan akhir.
MEMPERKASA wanita sebagai duta kesihatan bagi keluarga dan masyarakat di samping memupuk kesedaran tentang kesihatan hati, jantung, sendi dan kulit merupakan objektif utama peraduan Glowing Youthful Mother 2012.
Dianjurkan buat kali kedua, Mega Lifesciences, sebuah syarikat yang komited dalam meningkatkan kesihatan umum dan peneraju dalam bidang kesihatan kulit mencari calon ibu hebat selain memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang gaya hidup sihat, pengambilan diet seimbang serta kepentingan mikro nutrien bagi menjamin kesihatan fizikal yang lebih baik.
Sebenarnya bukan mudah mencari seorang individu yang bukan sahaja mempunyai personaliti menarik dan berkeyakinan tinggi tetapi juga faham tentang penjagaan kesihatan diri yang sebenar.
Menurut Pengarah Serantau Mega Lifesciences Sdn. Bhd., Sudhir Gandhi, peraduan tersebut merupakan platform terbaik untuk para ibu diberi kesedaran dan mendidik wanita tentang konsep anti-penuaan serta berkongsi rahsia untuk kelihatan muda dan remaja melalui pengambilan nutrisi yang betul bagi memangkin kesihatan dalaman kulit.
Katanya lagi, sejak dilancarkan pada awal Mei lalu, pihaknya telah menerima beribu borang penyertaan oleh para ibu di seluruh negara yang berusia di antara 30-an hingga 60-an melalui laman sosial facebook www.facebook.com/glowforever serta laman sesawang rasmi peraduan www.gymc.com.my.
"Peraduan ini bukan sahaja bertujuan mencari calon ibu hebat tetapi turut mencari seorang ibu yang sentiasa sihat dari segi luaran dan dalaman.
"Pada masa yang sama, mereka (calon ibu) juga bukanlah yang hanya tertumpu kepada suatu elemen kesihatan sahaja tetapi turut meliputi aspek penjagaan jantung, hati, sendi, dan kulit di mana ia adalah antara tunjang utama kesihatan yang harus diberikan tumpuan dan penjagaan yang rapi.
"Ini kerana senario di mana kebanyakan wanita selepas berkahwin, mereka akan mengabaikan kesihatan diri kerana sibuk dengan tanggungjawab dan aktiviti harian," ujarnya ketika ditemui pada kem kecantikan untuk 26 peserta yang disenarai pendek di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau, peraduan tersebut merangkumi pelbagai sesi menarik antaranya sesi temu duga, kem ratu cantik merangkumi sesi kesihatan dan yoga, latihan catwalk dan sesi penata gayaan diri yang diselia oleh pakar dalam lapangan masing-masing.
Setiap peserta akan diadili pada setiap pusingan sehinggalah pusingan kelapan di mana hanya lapan peserta akan disenarai pendek untuk ke peringkat seterusnya.
Akhir sekali daripada jumlah tersebut hanya tiga peserta yang akan meneruskan ke peringkat akhir untuk menentukan juara, naib juara dan juga tempat ketiga.
Bagaimanapun kesemua mereka ini akan diadili pada Malam Gala Glowing Youthful Mother Contest 2012 yang bakal berlangsung pada 3 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Hadiah keseluruhan yang ditawarkan bernilai RM50,000 serta barangan tajaan penaja dan kesemua peserta akan dinilai para juri profesional seperti Amber Chia, Daphne Iking, Noniswara Baharuddin dan Bon Zainal.
Pemenang utama Glowing Youthful Mother 2012 bakal memenangi wang tunai bernilai RM25,000, tempat kedua RM10,000, manakala tempat ketiga RM5,000.
Dalam pada itu, kem kecantikan yang diadakan seminggu sekali selama sebulan diadakan bertujuan untuk persediaan kepada para peserta yang telah disenarai pendekkan.
Melalui kem tersebut, para peserta bukan sahaja akan didedahkan dengan pelbagai tip mengenai kesihatan yang meliputi penjagaan kulit, hati, jantung dan sendi malah mereka juga akan didedahkan dengan cara berjalan yang betul serta penampilan yang menarik dan bersesuaian dengan diri masing-masing.
Apa yang menariknya, para peserta akan diberi tunjuk ajar oleh model terkenal, Amber Chia dari sudut penampilan diri selain turut ditunjukkan senaman yang boleh membantu mereka sihat dan kekal bertenaga, yoga.
Senaman ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa mengira masa dan tempat malah ia melibatkan pergerakan perlahan yang terkawal serta melatih seluruh anggota tubuh kekal bertenaga.
Pada masa yang sama, senaman yoga juga membantu mengelakkan kesakitan yang biasanya timbul di bahagian bahu, leher, pinggang dan belakang yang disebabkan oleh kesan tegangan dan mampatan ke atas tulang belakang.
Yang pasti, yoga juga memberikan fokus dan memupuk kesedaran ke atas tubuh, postur dan pernafasan yang diamalkan dan ia sangat menenangkan dan dapat membantu menghilangkan tekanan yang dialami akibat persekitaran, pekerjaan dan permasalahan harian yang lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121018/ke_05/Ibu-cantik-sihat#ixzz29hzEtKSs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cabaran mendidik anak


Sesetengah ibu bapa mungkin mengambil jalan mudah dengan membiarkan sahaja anak remaja berterusan berkelakuan mengikut sesedap hati mereka kerana tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan.
Mungkin juga ada ibu bapa yang mencari jalan untuk berkomunikasi dengan anak melalui pembacaan tetapi apa yang dibaca mungkin tidak sesuai untuk diterapkan.
Kebanyakan buku mengenai keibubapaan adalah dari Barat, justeru cara mereka melihat isu ini mungkin berbeza daripada cara masyarakat tempatan khususnya orang Islam.
Menyedari keperluan ini, Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia atau ringkasnya PPLI mengadakan bengkel sehari mengenai keibubapaan pada 13 Oktober lalu.
"Kita mengandaikan ibu bapa yang ada anak remaja sedang mencari-cari apa formula sebenarnya untuk mendidik anak remaja supaya masalah yang timbul antara mereka sekurang-kurangnya dapat diminimumkan," Pengarah PPLI, Siti Fatimah Abdul Rahman memberitahu Bernama mengenai matlamat bengkel keibubapaan itu.
Ibu bapa sepatutnya mendapat tempat di hati anak dan menjadi model contoh atau idola.
Bagaimanapun, dalam kebanyakan keadaan, ia hanya berlaku ketika anak itu masih kecil.
"Bila mula pandai bercakap, emak bapa dialah segalanya. Emak dialah yang paling cantik. Emak dialah yang paling pandai.
"Apabila anak mula bersekolah, idolanya bertukar kepada guru. Kalau kita cakap tentang sesuatu, dia akan merujuk kepada gurunya. Bagi anak ini, guru dia lebih menyakinkan.
"Masuk usia remaja, anak ini berubah arah. Idolanya ialah rakan sebayanya. Kalau ibu bapa tidak mengambil langkah selanjutnya, anak itu akan kekal begitu. Cakap ibu bapa tak dengar. Cakap guru pun tak diendahkan," kata Siti Fatimah yang mempunyai banyak pengalaman dalam isu wanita dan kekeluargaan sebelum menyertai PPLI.
Beliau menegaskan, keadaan tersebut perlu diubah di mana ibu bapa patut kekal menjadi idola anak serta menjadi rujukan mereka.
Kurang minat
Anggapan bahawa program keibubapaan kurang menarik penyertaan, kata Siti Fatimah, beliau melihat isu ini lebih kepada faktor kewangan.
"Nak keluarkan mungkin RM200 untuk menghadiri seminar atau bengkel sehari mengenai keibubapaan? Ada yang berfikir RM200 ini lebih elok untuk membeli keperluan makanan rumah," katanya.
Bagi pihak majikan pula Siti Fatimah memberitahu bahawa ada yang mungkin beranggapan soal keibubapaan adalah soal peribadi.
"Pihak majikan perlu ingat bahawa pekerja yang mempunyai masalah keluarga, akan terjejas tumpuannya kepada tugas dan ini akan menjejaskan produktiviti mereka.
"Katakanlah, seorang ibu yang baru mendapat tahu bahawa anak gadisnya mengandung luar nikah, sudah tentu fikirannya terganggu dan dia tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada tugasan.
"Kalau kita selaku majikan dapat memberikan kemahiran keibubapaan kepada mereka supaya perkara tersebut dapat dielakkan, maka tak perlulah dia dan keluarganya berdepan dengan kesulitan ini," jelasnya.
Menurut Siti Fatimah, kestabilan rumah tangga termasuk memiliki kemahiran keibubapaan adalah penting ke arah melahirkan pekerja yang tenang dan bahagia yang seterusnya boleh menyumbang kepada produktiviti organisasi.
Beliau memberi contoh di Australia, syarikat-syarikat di negara itu menjadi semakin mesra keluarga.
Pelbagai kemudahan disediakan bagi memudahkan keluarga para pekerja.
Kalau di Malaysia, isu taska pun masih belum betul-betul selesai, di Australia, majikan telah menyediakan Children's room bagi menempatkan anak pada usia persekolahan selepas tamat waktu sekolah.
"Dalam masyarakat kita, lepas anak balik sekolah, mereka mungkin ke sekolah agama. Antara dua waktu persekolahan ini, penjagaan anak perlu diuruskan juga.
"Bagi yang tidak ke sekolah agama? Mereka mungkin tinggal di rumah bersendirian atau dengan adik-beradik lain tanpa pengawasan orang dewasa.
"Nak ambil pembantu rumah, bukan sahaja semakin susah dan mahal, kadangkala tidak berbaloi kerana anak sudah besar," katanya.
Dalam pada itu, bengkel keibubapaan, yang diadakan di Dewan Besar IKIM, No 2 Langgak Tunku off Jalan Duta, Kuala Lumpur itu membawa tajuk Keibubapaan Anak Remaja: Anakku, Kawanku.
Ia membincangkan tiga modu. Pertama Keibubapaan Anak Remaja Dari Perspektif Islam yang disampaikan oleh pakar motivasi yang tidak asing lagi, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin yang juga tetamu segmen D"Zahrah IKIMfm.
"Kita memanggil seorang ustaz untuk modul ini kerana kita hendak bercakap mengenai keibubapaan anak remaja menurut Islam.
"Dalam hal keibubapaan, Saidina Ali bin Abi Talib iaitu khalifah Islam keempat, pernah berpesan, 'Bermainlah dengan mereka untuk tujuh tahun pertama, disiplinkan mereka untuk tujuh tahun yang berikutnya, berkawanlah dengan mereka untuk tujuh tahun yang berikutnya dan selepas itu anggaplah mereka sebagai orang dewasa.
"Saya berpendapat, kita hanya boleh berkawan dengan anak sekiranya kita telah melakukan dua tugas keibubapaan yang lebih awal iaitu bermain dan mendisiplinkan mereka pada tujuh tahun pertama dan kedua.
"Kita bermain dengan mereka semasa mereka kecil dan kita disiplinkan mereka semasa usia persekolahan. Lepas itu, baru kita boleh menjadi kawan mereka ketika mereka remaja," kata Siti Fatimah.
Kadangkala apa yang berlaku ialah ada ibu bapa yang merujuk kepada psikologi Barat dan gaya keibubapaan Barat dan melayan anak seperti kawan dari kecil sehingga remaja.
"Disebabkan itu, anak tidak sempat didisiplinkan dan berlakulah kepincangan yang akhirnya menimbulkan masalah dalam diri anak dan hubungan anak beranak itu sendiri. Sebagai orang Islam, mari kita lihat kembali apa Islam kata mengenai hal ini dan amalkannya," tambah beliau.
Tips untuk ibu bapa
Modul kedua, Ibu Kool, Bapa Hebat pula dikendalikan oleh Jamilah Samian yang juga penerbit tiga buah buku termasuk Ibu Kool, Bapa Hebat dan Groovy Tips untuk membesarkan generasi Y dan generasi Z.
"Jamilah memberi tips bagaimana untuk membesarkan anak generasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang kita hadapi sekarang ini.
"Ibu bapa yang kool bukanlah ibu bapa yang mengikut sahaja kehendak anak tetapi ibu bapa yang membimbing anak dengan baik.
"Mereka tahu macam mana hendak menegur anak tanpa melukakan hati mereka.
Mereka tahu bagaimana hendak menyuruh anak berbuat baik tanpa kelihatan seperti memberi arahan," katanya.
Sementara Siti Fatimah sendiri mengendalikan modul ketiga bertajuk Keibubapaan Remaja: Cabaran Semasa.
Untuk modul itu, beliau mengambil beberapa isu yang boleh dianggap sebagai cabaran besar kepada ibu bapa seperti pergaulan bebas, pendidikan seks dan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender) dan bagaimana ibu bapa boleh memperkasa diri untuk menjelas dan berbincang dengan anak mengenai hal ini.
"Isu LGBT umpamanya, mungkin tidak ramai ibu bapa yang mampu membincangkan perkara ini dengan anak mereka. Kita akan buat perbincangan berkumpulan dan dari situ kita akan bincangkan bagaimana ibu bapa boleh menangani isu tersebut," kata Siti. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121018/ke_01/Cabaran-mendidik-anak#ixzz29hyshCfC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bantu anak kelaparan


Kakitangan 101 Hair Care menyertai sokongan terhadap program penajaan 101 kanak-kanak melarat .
TidaK semua syarikat berbangga dan melaung-laungkan usaha murni yang mereka buat terutama apabila melibatkan derma dan sumbangan.
Ada yang mengambil pendekatan melakukan kebajikan secara tertutup seperti yang dilakukan oleh 101 Hair Care.
Syarikat penjagaan rambut terkemuka itu sebenarnya telah mengumpul dana sejak tahun 1997 lagi demi membantu 101 kanak-kanak yang hidup melarat di seluruh dunia.
Kanak-kanak tersebut dipilih menerusi program tahunan Penajaan Kanak-Kanak World Vision Antarabangsa.
Sejak 15 tahun lalu syarikat tersebut telah mengumpul sebanyak RM211,800 dan untuk tahun ini sahaja mereka menyerahkan sejumlah RM60,000 kepada program tersebut menerusi penjualan set penjagaan rambut untuk tujuan amal.
Hanya pada tahun ini saja baru mereka mengambil keputusan menghebahkan kerana mahukan penglibatan lebih ramai orang dalam program amal itu.
Pengarah Eksekutif 101 Hair Care, Ricky Thye berkata, untuk tahun ini 101 Hair Care sekali lagi menaja 101 kanak-kanak dari Kemboja, China, India, Indonesia, Lebanon, Myanmar, Thailand dan Vietnam di bawah Program Penajaan Kanak-Kanak World Vision Antarabangsa.
"Kami bukan saja membantu kanak-kanak ini malah kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja di kalangan rakyat Malaysia yang ingin melawat, mengenali, dan beramah mesra dengan kanak-kanak tersebut menerusi pakej amal kami.
"Sesiapa yang membeli mana-mana pakej amal 101 Hair Care mendapat peluang eksklusif untuk memohon menyertai 'Program Pembangunan Kawasan' World Vision di mana mereka hanya dikenakan bayaran minimum untuk pakej lawatan," jelasnya.
Program Pembangunan Kawasan berkonsepkan amal itu akan menganjurkan dua lawatan untuk 24 peserta ke dua negara iaitu Thailand dan Vietnam yang menempatkan 29 kanak-kanak tajaan.
"Hanya siapa cepat yang akan dapat mengikuti program ini. Seramai 12 orang bertuah boleh melawat Thailand untuk bertemu dan beramah mesra dengan sembilan kanak-kanak tajaan. Pakej lawatan ini serendah RM2,700 untuk lima hari empat malam termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan
"Manakala 12 orang lagi berpeluang melawat Vietnam untuk bertemu dengan 20 kanak-kanak tajaan. Pakej lawatan ini pula serendah RM2,600 untuk lima hari empat malam termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif World Vision Malaysia, Liew Tong Ngan, berkata, kelaparan adalah satu daripada ribuan isu global yang menghimpit dunia hari ini.
"Lebih 925 juta orang kelaparan di seluruh dunia manakala hampir lima juta kanak-kanak bawah umur lima tahun mati setiap hari disebabkan kekurangan zat makanan, kebuluran dan penyakit yang boleh dicegah.
" Banyak yang perlu dilakukan dan kami menghargai sokongan 101 Hair Care dalam usaha menangani isu penting ini," ujarnya.
Menurut hasil kajian Facing the Future, Think Quest and Hunger Relief Organizations, pada Mac 2012 angka kebuluran dunia memang mencapai ke tahap membimbangkan.
Laporan tersebut menyatakan pada tahun ini sahaja seramai 2,073,588 penduduk dunia akan mati akibat kelaparan.
Memandangkan bilangan penduduk dunia yang kelaparan semakin meningkat, syarikat penjagaan rambut itu telah memberikan komitmen untuk menyokong kempen 30-Hour Famine sebagai langkah susulan bagi menyokong transformasi kekal dalam kehidupan kanak-kanak dan komuniti mereka.
Bagi menyelami sendiri keadaan yang dialami orang mereka yang ditimpa bencana, baru-baru ini 101 Hair Care telah menganjurkan kem DIY.
Ia disertai oleh lebih 50 kakitangan dengan matlamat berganding bahu dalam perjuangan menangani isu kelaparan global.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121018/ke_02/Bantu-anak-kelaparan#ixzz29hyXY9pS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, October 8, 2012

Selesa tanpa protokol


Chef Emmanuel Stroobant yang lebih terkenal dengan gelaran Chef In Black.
KATANYA lagi, setiap individu mempunyai kegemaran serta cara masing-masing dan apa yang ditampilkan ketika berada di dapur menunjukkan itulah dirinya yang sebenar.
Disebabkan itu juga dapat dilihat peralatan dapur seperti pisau mahupun periuk belanga yang digunakan adalah minimum.
Menurutnya, dia tidak memerlukan perkakasan yang begitu banyak, memadai apa yang hendak digunakan ketika memasak.
Jelas sekali apa yang dikatakan benar kerana ketika ditemui di Petaling Jaya sempena siri lawatannya ke Malaysia, baru-baru ini, dia yang lebih terkenal dengan gelaran Chef In Black, hanya mempunyai sebilah pisau untuk semua kerja.
Begitupun, kerja yang dilakukannya amat pantas, cekap dan lancar tanpa sebarang gangguan mahupun kekurangan peralatan.
"Saya sukakan sesuatu yang sederhana. Ini termasuklah hidangan yang dimasak.
"Walaupun hidangan tersebut merupakan masakan yang sederhana, tetapi ia perlu dimasak dengan penuh keikhlasan agar mereka yang memakannya dapat merasai kenikmatan hidangan tersebut.
"Pada masa yang sama jadikan masakan satu perkara yang menyeronokkan agar anda dapat menghasilkan sesuatu yang begitu enak untuk dinikmati," ujar Stroobant.
Beliau yang gemar memasak sambil diiringi alunan muzik memberitahu tabiat tersebut tidak dapat 'dipisahkan' kerana ia memberi satu rangsangan dan inspirasi ketika berada di dapur.
Berbicara lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang masakan, jelas Chef Stroobant, kerjayanya bermula ketika dia berumur 16 tahun sebagai pencuci pinggan.
Dua tahun selepas itu dia mula mengorak langkah apabila mendaftarkan diri di sebuah institut hospitaliti dalam bidang masakan.
Tanpa menoleh kebelakang dan melakukan apa yang diminati dengan begitu tekun akhirnya di usia 23 tahun, dia berjaya membuka restoran pertama di negara kelahirannya.
Bermula daripada situlah kerjanya sebagai tukang masak mula berkembang. Siapa sangka di usia 44 tahun hari ini dia telah mempunyai enam buah restoran di Singapura selain dikenali sebagai chef selebriti.
Dia memberitahu, kesemua ahli keluarganya memang meminati bidang masakan. Malah bapanya ada membuka sebuah kafe di Belgium.
Katanya, walaupun bapanya bukanlah seorang chef tetapi disebabkan begitu komited dalam bidang masakan sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya.
"Jika dilihat daripada sejarah keluarga sebenarnya tiada seorang pun yang bergelar chef. Tetapi ayah dan ahli keluarga yang lain sememangnya meminati bidang masakan. Secara tidak langsung tempias itu turut terkena kepada saya.
"Walaupun ayah bukan seorang chef tetapi dai ada membuka sebuah kafe di Belgium dan kami sekeluarga akan berkumpul di situ sekiranya ada masa terluang untuk menikmati hidangan bersama-sama.
"Disebabkan itu jugalah saya melibatkan diri secara langsung di dalam bidang masakan ini dan seterusnya menjadikan ini sebagai kerjaya tetap," tambah Stroobant.
Beliau yang gemarkan sesuatu yang klasik turut berkongsi beberapa tip untuk menghasilkan hidangan yang sihat dan berkhasiat iaitu elakkan menggunakan gula putih sebaliknya guna gula perang.
Selain itu, Chef Stroobant turut menyarankan agar minyak ditukar dengan mentega supaya masakan lebih enak dan beraroma.
Beliau yang dilihat kurus dan tegap tidak ketinggalan mendedahkan makanan akan dihadam dengan betul sekiranya menikmati hidangan dengan cara yang betul.
Cara tersebut juga mampu menjadikan kita kenyang walaupun ia dijamah dalam kuantiti yang sedikit.
Tergolong dalam kelompok chef selebriti, Chef Stroobant tidak ketinggalan bercerita mengenai programnya yang mula bersiaran 12 September lalu.
Menampilan tema 36 Cara Untuk Hidup, bakal ditayangkan di saluran Asian Food Channel.
Katanya, siri kali ini berlainan sedikit daripada siri-siri sebelum ini kerana ia menampilkan masakan kegemarannya yang sering dinikmatinya ketika kecil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120928/ke_01/Selesa-tanpa-protokol#ixzz28lPbAsH1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kembara amal Pink Ribbon



Para sukarelawan Red Ribbon tidak ketinggalan bergambar bersama peserta konvoi.
GELARAN bikers sememangnya cukup sinonim dengan mereka yang gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi.
Sudah menjadi kebiasaan buat si bikers untuk menunggang secara berkumpulan terutamanya pada hari minggu.
Ramai yang beranggapan tunggangan secara konvoi itu hanya sekadar untuk mengisi masa terluang.
Namun hakikat itu sudah berubah kerana budaya konvoi kini kebanyakannya turut diselitkan dengan aktiviti amal.
Baru-baru ini, penulis berpeluang mengikuti konvoi amal, Pink Ribbon Wellness Foundation Charity Ride 2012 yang berlangsung pada 15 September lalu.
Konvoi tersebut yang diadakan buat julung kalinya bermula dari Singapura dan ia berjaya menghimpunkan hampir 30 buah motosikal pelbagai jenis.
Dari Kota Singa, mereka bergerak menuju ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan 50 penunggang tempatan sebelum bergerak ke Ipoh, Perak Darul Ridzuan.
Selepas berkumpul di AnCasa Hotel & Spa, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur, kesemua peserta mengharungi pengembaraan sambil mata menikmati keindahan alam semula jadi yang terdapat di sepanjang jalan.
Istimewanya konvoi sejauh 560 kilometer ini adalah setiap peserta berpeluang melancong dan menguji kemampuan motosikal masing-masing sambil menyempurnakan misi bantuan yang dihulurkan kepada mereka yang memerlukan.
Setelah satu jam setengah masa berlalu, akhirnya kesemua peserta selamat tiba di Ipoh Parade bagi mengikuti acara menarik yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
Penaung Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia, Puan Seri Maniseh Adam berkata, mungkin ramai yang melihat program ini sekadar suka-suka tetapi sebaliknya ia menyampaikan suara menerusi kempen menghargai kehidupan istimewa pesakit kanser payu dara.
“Sehingga kini, kanser payu dara masih kekal sebagai penyakit utama dan lebih membimbangkan, ia turut menjadi pembunuh utama di kalangan kaum wanita.
“Di Malaysia, kajian turut membuktikan, kira-kira satu daripada 20 wanita berisiko mendapat kanser berkenaan.
“Oleh itu, menjadi cabaran buat Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia untuk membantu pesakit dari segi menawarkan harapan yang realistik," katanya.
Jelasnya lagi, kehadiran pelbagai kelab motosikal tempatan dan luar negara yang menyertai konvoi amal itu membuktikan bahawa golongan bikers turut tidak ketinggalan menghulurkan bantuan dengan menjadi ahli sukarelawan dan melakukan kerja-kerja amal sama ada melalui sumbangan berupa masa, tenaga, wang ringgit ataupun barangan.
“Kami percaya bahawa maklumat yang tersedia perlu dikongsi bersama agar ia boleh digunakan untuk membantu golongan wanita dari segi mengawal dan membasmi kanser payu dara sejajar dengan wawasan dan misi kami.
“Dengan dana yang dikumpulkan, Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia bakal membantu wanita yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi agar mereka tidak dibebani kos rawatan di samping menyokong mereka untuk terus berusaha melawan kanser tersebut," ujarnya.
Selain aktiviti konvoi, acara Pink Ribbon Wellness Foundation Charity Ride 2012 turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, bengkel penerangan dan tip penjagaan kesihatan yang disampaikan oleh Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kesihatan Pink Ribbon Malaysia, Dr. M. Devanand.
Dr. M. Devanand berkata, kebanyakan wanita takut dengan kanser payu dara dan ada yang memperkecilkan risiko penyakit itu.
Oleh itu, kaum wanita perlu diberi bimbingan tanpa berasa malu untuk berbincang secara terbuka.
“Kemajuan teknologi sains molekul dan genetik yang dikecapi hari ini bakal mencipta strategi-strategi baru di samping memberi harapan kepada mereka.
“Mungkin agak sukar untuk yayasan ini mencapai matlamat tetapi dengan kerjasama semua pihak, kita pasti berjaya membasmi kanser payu dara pada Januari 2020," katanya.
Syabas dan tabik dari .com kepada mereka yang menjayakan program ini.
- SYAHRIL (Yang mengikuti lawatan ke Ipoh, Perak, tajaan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd.)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120929/ke_02/Kembara-amal-Pink-Ribbon#ixzz28lP2kGAd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peneman ketika suka dan duka


AIWAN peliharaan sememangnya tidak asing di kalangan remaja hari ini. Di samping dapat menemani ketika sunyi, haiwan tersebut juga menceriakan suasana dan amat menyeronokkan.
Kini, pelbagai jenis haiwan boleh dipelihara. Jika dahulu kucing, arnab dan burung menjadi pilihan, namun kini, remaja kian berani memelihara haiwan-haiwan baka luar negara dan eksotik.
Haiwan daripada spesies seperti ular, tupai, kala jengking, labah-labah, tikus, cicak dan pelbagai lagi haiwan lain kian popular menjadi peliharaan generasi hari ini.
Bagi kebanyakan remaja, haiwan-haiwan tersebut banyak mempengaruhi ciri-ciri si pemiliknya. Sebagai contoh, bagi mereka yang bersifat manja sudah pasti kucing menjadi pilihan hati.
Namun, banyak aspek perlu diambil kira sebelum seseorang itu ingin memelihara haiwan.
Pemakanan, tempat tinggal, masa, komitmen dan perancangan jangka panjang perlu bagi memastikan haiwan tersebut menjadi sebahagian daripada hidup pemiliknya.
Jadi, mari kita ikuti kisah pemilik dan haiwan kesayangan mereka serta tip-tip menarik untuk memelihara haiwan peliharaan ini. - AMIRUL/LYNN
DIAM tak diam, sudah tujuh ekor kucing parsi yang dibela Aizul Marcello Ad. Rahim, 25, semenjak dua tahun lalu.
Katanya, hilang segala penat dan letih setelah seharian bekerja apabila melihat keletah kucing-kucing Parsi yang gemar dimanja serta dibelai selain menghiburkan.
Dek kerana terlalu sayang pada haiwan tersebut, pemuda berasal dari Melaka itu mengakui, tidak lokek untuk membelanjakan kira-kira RM3,000 sehingga RM8,000 semata-mata untuk membeli seekor kucing.
“Kalau kucing Parsi tempatan, kos pembelian sekitar RM3,500 hingga RM4,000 seekor, bergantung kepada kualiti.
“Berbanding kucing Parsi import, harganya jauh lebih tinggi dan boleh mencecah sehingga RM8,000 seekor. Umur, kualiti serta kos penghantaran antara faktor yang boleh melonjakkan harga seekor kucing itu," katanya.
Biarpun terpaksa berbelanja tinggi, jelas Aizul, dia menggemari kucing import kerana baka dari luar negara lebih besar dan berkualiti.
Menurut pemilik Eyestudio Photography itu, ketujuh-tujuh ekor kucingnya itu adalah dari baka Persian asli dan mempunyai sijil berdaftar dari Cat Fancier‘s Association (CFA).
Menggunakan pangkal Xaara dan Xaarel bagi setiap kucing miliknya, pemuda itu mengakui terpaksa berbelanja besar setiap bulan demi memastikan haiwan peliharaannya itu membesar dengan sihat.
“Menjaga kucing Parsi ini agak leceh tetapi disebabkan sayang, semua perkara itu tidak menjadi masalah kepada saya.
“Seminggu sekali, kucing-kucing tersebut perlu dimandikan dan dipotongkan kuku.
“Selain menyikat bulunya setiap pagi, kucing-kucing tersebut akan diberikan minyak omega, vitamin tambahan serta susu kambing supaya ia sihat dan gebu," katanya.
BAGI sesetengah orang, ular merupakan haiwan yang sangat geli dan tidak ramai juga yang berani untuk mendekatinya, apatah lagi untuk dijadikan haiwan peliharaan.
Tidak bagi Muhammad Faidhi Zulkhali, 25, Persatuan 4P Hidupan Malaysia yang kini mempunyai tiga ekor ular yang sedang dipelihara iaitu daripada spesies Ball Phyton, Corn Snake dan Rat Snake.
Dia mula memelihara ular sejak empat tahun yang lalu dan merasakan ia adalah haiwan yang sangat pendiam dan bukan yang agresif.
Sebagai pemilik, Faidhi sentiasa meluangkan masa untuk bermain dengan ular-ularnya, kerana ular sebegini akan mengenali dan dapat membiasakan diri dengan pemilik.
“Ular tidak susah untuk dijaga, haiwan ini hanya makan sekali dalam sebulan, tidak seperti haiwan-haiwan peliharaan lain yang diberi makan secara tetap dan berterusan.
“Bagi pemilik ular, kena pastikan adakah spesies ular yang perlukan permit untuk memeliharanya, terdapat juga ular yang tidak perlukan permit, jadi kena bertanya dengan Jabatan Perhilitan di Daerah masing-masing," katanya.
Kos untuk memelihara ular tidak begitu besar. Makanannya seperti tikus saya bela sendiri dan kadang kala ia diberikan burung puyuh sebagai diet tambahan.
Selain ular, Faidhi turut memelihara beberapa haiwan lain termasuk, labah-labah, ferret, guinea pig dan kucing.
MUHAMMAD FAIDHI ZULKHALI, 25
MINAT terhadap haiwan kecil dan comel membuatkan Mas Syazwani Izyan,25 memelihara tupai chipmunk dan sugar glider.
Memerhati gelagat haiwan kecil ini bergerak seakan-akan menari membuatkan Mas seronok, sekaligus dapat menghiburkan hati ketika berasa sunyi.
Melihatkan haiwan yang biasanya susah didekati begitu jinak bermain bersama sudah pasti membuatkan sesiapa sahaja merasakan ia memerlukan latihan yang banyak.
Bagi Mas, masa yang diluangkan bersama haiwan peliharaan adalah penting dalam memastikan haiwan tersebut sentiasa mengenali pemilik dan memudahkan ia dijaga.
Kos untuk memelihara haiwan ini bukanlah besar jika benar-benar minat. Mas menghabiskan dalam RM50 untuk kedua-dua haiwannya itu bagi makanan, aksesori dan juga air.
Minat tersebut turut berkongsi dengan abangnya yang memelihara ular dan kucing.
Walaupun agak takut dan geli terhadap ular, dia terpaksa membiasakan dirinya berhadapan dengan haiwan itu kerana ia kini sebahagian dari keluarganya.
Haiwan peliharaan bukan hanya sebagai pendamping ketika sunyi tetapi ia akan bersama keluarga sepanjang hayatnya.
MAS SYAZWANI IZYAN,25
MINAT terhadap haiwan baka luar membuatkan dia sanggup memelihara lebih 10 ekor arnab jenis Hollond Loop di rumahnya.
Selain daripada arnab, dia juga memelihara guinea pig yang juga merupakan baka dari luar negara.
Arnab jenis ini mempunyai bulu yang panjang dan juga badan yang besar seakan kucing, jadi pelbagai aksesori boleh digayakan. Penjagaan terhadap haiwan ini juga tidak sukar.
Dalam sebulan dia menghabiskan RM200 bagi makanan, tidak termasuk perubatan dan lain-lain keperluan.
NORISYAM MOHD ARIS, 30
“SAYA suka memelihara haiwan yang agak eksotik dan lain daripada yang lain. Ketika ini, Beaded Dragon adalah jenis cicak yang menjadi pilihan saya.
“Bagi yang tidak mengetahui, ada yang mengatakan ia adalah iguana tetapi ia sebenarnya daripada spesies yang lain.
“Penjagaannya tidak rumit dan mudah, paling penting penjagaan dari segi kebersihan, makanan dan tempat tinggal adalah amat penting.
MOHD HIDHIR BASARUDIN, 30
“MEMELIHARA tikus belanda memberikan suatu kepuasan setelah penat bekerja seharian dengan melihat telatah haiwan ini.
“Tikus daripada jenis Shibaya menjadi pilihan kerana ia memiliki bulu yang panjang dan sangat cantik berbanding tikus belanda yang lain.
“Paling penting bagi memelihara haiwan ini adalah sangkar yang sesuai, mangkuk makanan yang bersih, minuman yang mencukupi dan juga masa yang diluangkan bersama.
HAMZAH ALIAS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120929/ke_01/Peneman-ketika-suka-dan-duka#ixzz28lOoQSKa
© Utusan Melayu (M) Bhd